Malaysia Dateline

Elak keluar dari Sarawak Oktober ini

Rakyat Sarawak disaran supaya mengelakkan perjalanan keluar dari Sarawak dalam tempoh sebulan ini bagi mengekang dan mengurangkan kes import Covid-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, berdasarkan kepada kes di negeri ini kini kebanyakkan adalah daripada kes import.

“Kita menasihati kepada semua rakyat Sarawak, untuk mengelak daripada melakukan perjalanan keluar dari Sarawak sekiranya perjalanan tersebut tidak perlu terutamanya pada Oktober ini.

“Justeru, adalah diharap rakyat dapat memberi kerjasama dan bersabar serta bersama memainkan peranan memastikan kes tidak lagi meningkat.

“Ini kerana kes di negeri dan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina masih lagi tinggi,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

Berdasarkan maklumat, jelas JPBN lagi kes-kes yang telah diumumkan 14 hari lepas yang mana 40 kes dilaporkan dan daripada itu tujuh kes atau 17.5 peratus adalah Import A.

“Bagi Import B, sebanyak 22 kes atau 55 peratus daripada 22 kes itu 16 kes adalah dari Sabah.

“Manakala kes tempatan adalah 11 kes atau 27.5 peratus dengan enam kes positif adalah kontak daripada kes import,” tambah JPBN.

JPBN menegaskan, semua individu yang balik dari Semenanjung Malaysia turut perlu menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin dan tidak lagi di rumah memandangkan dasar kuarantin di rumah tidak berkesan.

Ini kerans, menurut JPBN kes-kes tertentu mempunyai kesukaran atau kepayahan kepada pihak berkuasa untuk mengawasi serta memantau mereka yang dikuarantin di rumah.

“Kita telah membuat keputusan mana-mana individu yang balik ke negeri ini berkuatkuasa pada 10 hingga 18 Oktober perlu dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin.

“Ini adalah demi menjaga kesihatan rakyat Sarawak dan kita berharap dapat memutuskan rantaian Covid-19 ke negeri ini dengan lebih serius,” ujar JPBN.