Malaysia Dateline

Elak kemarahan rakyat, waspada mengulas perisitiwa berdarah

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menasihatkan agar rakyat dan ahli politik selepas ini berhati-hati dalam mengulas perisitiwa penting negara.

Ia susulan kenyataan yang dianggap lancang oleh Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi kerana mendakwa peperangan berdarah di Kampung Tanduo pada tahun 2013 sebagai satu ‘sandiwara’.

Nik Nazmi yang juga wakil rakyat PKR mengakui, ucapan Mohamaddin yang seperti memperlekehkan peristiwa pertempuran dengan kumpulan pengganas itu sememangnya mengundang kemarahan orang ramai.

“Ketika insiden Lahad Datu berlaku, ia telah mengorbankan lapan anggota polis dan dua anggota tentera negara. Sudah tentu ucapan yang dilihat seperti memperlekehkan perisitwa ini akan mengundang rasa marah orang ramai.

“Kita harus bersyukur dengan keamanan yang kita dapat kecapi hari ini, berkat keringat dan darah daripada semua pasukan keselamatan negara.

“Peristiwa pencerobohan ini mengajar kita banyak hal, termasuklah keperluan untuk memperkasakan barisan pertahanan negara, terutamanya di kawasan laut dan udara,” katanya menerusi hantaran Twitternya tadi.

Terdahulu, Mohamaddin pemimpin kanan Warisan itu terus menjadi sasaran kritikan selepas menyatakan bahawa jet pejuang dan kereta kebal yang datang hanya menembak ayam dan anjing sahaja di samping memusnahkan kebun kelapa sawit penduduk di situ.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya itu tampil memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda mereka yang tersebar sebelum ini.

Beliau mendakwa video yang disebarkan itu tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya, dan merupakan permainan kotor untuk memburukkan partinya Warisan dan ianya telah diputar belit.