Malaysia Dateline

Elak kerenah birokrasi demi kepentingan warga Felda

“Tengku (Tengku Razaleigh Hamzah) tak nak cari ‘mem’ baru ke?”. Sengaja jolok beliau.

“Saya ni dah tua. 83 tahun,” kata Tengku Razaleigh sambil ketawa.

Bersama beliau memang menghiburkan. Serius diselang seli jenaka. Bersembang dengannya, tahu-tahu sudah hampir dua jam tetapi sarat dengan isi.

Bagaimana masa depan Felda? Adakah kekal dengan komoditi seperti sawit dan getah; atau ada alternatif lain?

Dia lontarkan, untuk membuka minda saya, Dr Rosli Yaakop selaku bekas pegawai kanan Bank Negara; YB Muhamad Said Jonit, mantan pegawai kanan Felda; YB Ir Khairudin, YB Fakrurrazi, YM Ungku Mohd Nor dan Sdr Ramli Abd Hamid yang turut hadir ke kediaman beliau 11 November lalu.

Zaman PH dulu, ada kolaborasi antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani(MOA) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ambil inisiatif bawa Tun Daim Zainuddin ke Felda Lurah Bilut, Gugusan Trolak dan Sungai Tengi.

Saya cadang agar tanam nanas jenis MD2 semasa tanam semula, boleh dapat dua musim. Ia boleh mengurangkan hutang tanam semula peneroka. Bincang sampai tahap pengurusan tertinggi Felda.

Datuk Seri Salahudin mohon RM50 juta dengan Datuk Seri Azmin Ali (peruntukan Program Pembangunan Peneroka PPP) untuk bantu projek di kawasan Felda melalui kepakaran agensi di bawah MOA.

Projek pertanian, ternakan, industri hiliran memang dibincang dan diperhalusi. Tapi seperti yang selalu saya katakan, kerenah birokrasi menjadi penghalang.

Justeru, saya setuju dengan kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin baru-baru ini proses penyampaian maklumat dan tindakan susulan dari dasar-dasar kerajaan mesti dibuat penambahbaikan dan ada Penunjuk Prestasi Utama (KPI).

Jika tidak, dasar yang baik sekalipun, jika tidak dibuat dan memakan masa terlalu lama pasti mengecewakan rakyat.

Yang menerima kecaman teruk adalah kerajaan, walhal ada kesilapan serta kelemahan di pihak kumpulan pelaksana.

Majlis Permuafakatan NGO-NGO Felda (MPNF) akan mengumpul pakar-pakar terdiri daripada anak-anak Felda, bekas kakitangan kanan Felda, profesional dan lain-lain untuk memberikan input/cadangan model pembangunan/pengurusan Felda dalam waktu terdekat.

Tokoh-tokoh seperti YM Tan Sri Raja Alias, Dr Rosli Yaakop, Datuk Dzulkifli Wahab, YB Muhamad Said Jonit dan ramai lagi amat diperlukan idea dan pengalaman mereka demi kepentingan hampir dua juta warga Felda.

Terima kasih YBM Tengku Razaleigh Hamzah atas pandangan bernas dan keprihatinan beliau terhadap Felda.

 

*DATUK MAZLAN ALIMAN merupakan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA (MPNF).