Malaysia Dateline

Elak kes baharu meningkat, dibimbangi peralatan di hospital tidak mencukupi

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekiranya kes baharu Covid-19 terus meningkat, beliau khuathir kemudahan yang disediakan untuk pesakit-pesakit berkenaan di hospital-hospital kerajaan tidak mencukupi.

Kata beliau, merujuk kepada kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), setakat ini KKM menyediakan 3,400 katil wad biasa dan 300 katil ICU di 26 hospital kerajaan dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi kes Covid-9.

Semalam sahaja katanya, 153 kes baharu dicatatkan, 90 daripada mereka berkait dengan kluster perhimpunan Tabligh, dan ini menjadikan jumlah kes sebanyak 1,183.

“Bayangkan jika untuk tempoh 10 hari akan datang negara mencatat purata 200 kes baharu dengan 30 kes pulih setiap hari, ini bermakna akan ada 2,765 kes yang masih dirawat 10 hari dari hari ini.

“Ini sudah menghampiri kapasiti katil di hospital untuk kes Covid-19,” kata beliau melalui Facebooknya semalam.

Sehubungan itu kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.

“Saya percaya kita semua mahukan angka kes baharu setiap hari menurun sehingga tiada lagi kes baharu dicatat.

“Bagaimana untuk mencapainya? Ikuti dengan tekun arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Duduk di rumah, keluar hanya jika perlu untuk menambah bekalan makanan atau ubatan. Itupun, hanya seorang sahaja yang keluar.

“Saya percaya semua kita boleh melakukannya! Marilah kita semua sama-sama membantu,” kata beliau.