Malaysia Dateline

Elak kikis pandangan serong terhadap polis

Kumpulan veteran tentera memuji tindakan berani Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bertegas mengenakan tindakan terhadap lebih 20 anggotanya yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam.

Susulan itu, Abdul Hamid telah memutuskan agar penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digilirkan dengan lebih kerap pada masa hadapan untuk mengelakkan mereka mempunyai kaitan dengan salah laku.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, pihak berkuasa dan pegawai polis terutamanya perlu menjadi contoh dengan disiplin yang tertinggi supaya tidak mengikis kepercayaan masyarakat.

“Dianggap sebagai salah satu jabatan yang paling korup, tindakan pegawai polis yang tidak bertanggungjawab ini telah mengikis pandangan masyarakat terhadap polis.

“Kelakuan buruk seperti itu perlu cepat disingkirkan. Pegawai dan mereka yang berpangkat di dalamnya perlu bekerjasama untuk mendedahkan penyelewengan di antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid berkata, antara contoh kejadian yang membawa kepada pelaksanaan penggiliran penyandang jawatan sensitif itu kerana, terdapat pegawai dan anggota PDRM disyaki bersekongkol dengan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Bernama turut melaporkan, Pegawai kanan PDRM adalah antara yang diambil tindakan, berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Turut dilaporkan ialah rombakan besar-besaran dalam pasukan polis, membabitkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan, pasukan keselamatan itu.

Sementara itu Mohamed Arshad berkata, kegagalan pihak berkuasa sendiri dalam menangani isu rasuah sebenarnya berpunca dari sikap dan tanggungjawab Menteri yang mengendalinya.

“Seperti kata pepatah, ikan akan membusuk dari kepalanya. Kerajaan perlu benar-benar menunjukkan sifar toleransi terhadap rasuah dan mereka yang memegang jawatan tertinggi perlu menunjukkan contoh yang baik.

“Dengan tempoh persaraan IGP yang semakin hampir, beban untuk membanteras rasuah nampaknya akan bergantung pada kepemimpinan pasukan baru,” katanya lagi.