Malaysia Dateline

‘Jangan senang-senang nak lompat parti’

Calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti selepas memenangi pilihan raya kelak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, pihaknya melalui peguam parti sedang membuat persiapan untuk membolehkan semua calon menandatangani SD selepas pengumuman rasmi calon PRN, esok.

“Kita sedang buat persiapan pasukan peguam untuk meneliti tahap kesetiaan semua calon bagi memastikan tiada lagi seseorang yang menang atas tiket BN melompat (keluar parti) bagi kestabilan politik di negara, terutamanya di Melaka.

“Langkah menandatangani SD perlu dilakukan kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum ada lagi akta atau enakmen lompat parti, maka kita terpaksa membuat aku janji ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan DUN angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada Umno Negeri Sembilan, di Kampung Pulau, Masjid Tanah hari ini.

“Beberapa lagi dokumen perjanjian lain akan ditandatangani semua calon esok dan satu daripadanya SD itu sebagai peringatan jika sudah menang pilihan raya nanti, jangan senang-senang nak lompat parti pula,” tambahnya lagi.