Elak masalah berulang anggota SPR perlu letak jawatan, dibuang, kata peguam

Elak masalah berulang anggota SPR perlu letak jawatan, dibuang, kata peguam

Elak masalah berulang, ahli SPR patut letak jawatan atau dibuang

ARIF ATAN

Peguam Syahredzan Johan mengingatkan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh dibenarkan untuk terus memegang jawatan mereka ekoran gagal menjalankan tugas terhadap rakyat pada PRU-14 lalu.

Menurutnya, perubahan menyeluruh harus dilakukan ke atas SPR untuk memastikan perkara-perkara yang menyusahkan pengundi pada PRU-14 tidak berulang kembali.

“Mereka harus letak jawatan atau dibuang mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” tegas pengamal undang-undang itu.

Dipetik dari artikelnya di Sinar Harian hari ini, beliau berkata, SPR sebelum ini jelaas bertindak tidak mengikut kepentingan rakyat bermula daripada persempadanan semula lagi.

“Kemudian pula, SPR membuat keputusan tidak masuk akal untuk menetapkan hari mengundi di tengah-tengah minggu.

“Tetapi itu bukan penghujungnya, SPR mengeluarkan pula ‘syarat-syarat tambahan’ untuk bahan-bahan kempen bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mempamerkan gambar Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad,” kata Syahredzan lagi.

Turut dilihat sebagai kegagalan SPR yang memerlukan anggota badan itu berundur adalah pengendalian kertas undi pos yang menyaksikan ramai pemilih tidak dapat mengundi.