Malaysia Dateline

Elak pembaziran bantuan banjir

Banjir bukan perkara asing di Malaysia. Saban tahun bencana ini melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Namun pada tahun ini, banjir yang melanda negara agak luar biasa dan di luar jangkaan ramai pihak. Hujan yang berterusan sejak beberapa hari ekoran daripada laluan Lekukan Tropika yang merentasi Laut Cina Selatan melalui Semenanjung Malaysia dalam musim monsun, serta kejadian air pasang besar telah menjadi faktor utama banjir besar melanda beberapa tempat di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri Pantai Timur.

Pelbagai rentetan kisah dapat dirakam sepanjang peristiwa banjir berlaku. Slogan ‘Rakyat Jaga Rakyat’ dan ‘Kita Jaga Kita’ gamat dilaungkan di mana-mana media sosial sebagai tanda protes rakyat kepada tindakan lambat kerajaan dalam menangani isu ini.

Orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara yang terawal dilihat mengatur strategi bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Namun, dek kerana kurang persediaan dan bencana yang berlaku di kawasan yang tidak dijangka menyebabkan kelewatan dan keterbatasan jentera untuk memberikan bantuan dengan segera kepada semua mangsa banjir.

Walaupun begitu, usaha dan tindakan pantas semua pihak tanpa mengira warna kulit dan batasan agama ini patut dipuji dan diberikan penghargaan tersendiri kerana ia mengingatkan kita bahawa masih tinggi nilai kemanusiaan sesama bangsa Malaysia dalam membantu ketika diperlukan.

Elak pembaziran

Sumbangan kepada mangsa banjir juga tiba seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Pelbagai pihak mengatur pelbagai inisiatif untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Ada yang mengumpul dana, menyediakan sukarelawan bagi membantu membersihkan rumah dan tidak kurang juga yang membawa pelbagai bahan makanan sama ada yang siap dimasak atau bahan mentah.

Terkadang berlaku lambakan bahan makanan di sesetengah tempat manakala di tempat yang lain pula tiada sebarang makanan diterima sehingga perlu merayu di media-media sosial agar perut dapat diisi terutamanya kanak-kanak.

Jelas menunjukkan bahawa pengurusan sumbangan dalam menghadapi krisis atau bencana juga perlu diberikan fokus utama jika tidak mahu berlaku lagi pembaziran pada masa-masa akan datang.

Sinergi dan saluran komunikasi yang baik perlu diaplikasikan agar semua bantuan dapat sampai kepada penerima serta tidak lagi berlaku pembaziran.

Dilema bantuan pakaian terpakai

Antara bantuan yang diberikan dan dipandang enteng oleh kebanyakan pihak adalah bantuan baju terpakai. Orang Malaysia memang kaya dengan pakaian-pakaian terpakai.

Inilah masanya untuk menderma dan mengosongkan almari pakaian sama ada untuk bertukar kepada ‘minimalis’ atau menggantikan pakaian lama kepada pakaian baharu.

Tidak dinafikan, ada sebahagian penderma yang memberikan baju-baju yang masih elok dan masih baharu.
Namun, tidak kurang juga yang menderma baju-baju yang sudah lusuh, koyak dan layak dijadikan alas kaki sahaja.

Ini satu sisi yang sentiasa kita lihat dalam mana-mana situasi bencana. Budaya memberi itu baik, namun alangkah lebih baik jika kita memberi sesuatu barang yang dalam kondisi yang baik juga kepada penerima seperti firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud:

“Kamu tidak akan memperoleh kebajikan sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.”

Sifat empati yang tinggi perlu ada dalam diri kita. Jika punya sifat empati yang tinggi, kita akan sentiasa meletakkan diri kita dalam situasi mangsa. Adakah kita juga sudi menerima pakaian yang layaknya menjadi alas kaki untuk dipakai?

Jika jawapan kita tidak, maka mengapa kita sanggup untuk memberi kepada orang lain pakaian sedemikian?
Kisah-kisah penderma pakaian terpakai ini sudah banyak diperkatakan. Namun, ada sisi lain yang perlu juga kita beri perhatian sewaktu bencana ini untuk mengelakkan pakaian ini ‘dibakulsampahkan’ sahaja akhirnya.

SOP urus pakaian terpakai

Penerimaan derma pakaian terpakai ini perlu diletakkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dari awal lagi seperti pakaian hendaklah dilabel dan diletakkan mengikut kategori seperti pakaian lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak berserta saiz pakaian serta jeni pakaian supaya memudahkan petugas di pusat penerimaan menyusun atur kelak.

Pakaian yang diderma hendaklah pakaian yang masih cantik dan masih boleh dimanfaatkan oleh penerima. Pakaian yang diterima di pusat operasi atau pusat penerimaan bantuan pula seharusnya diletakkan petugas bagi menguruskan pakaian ini dengan baik.

Jangan dibiarkan sahaja penerima mengambilnya tanpa pengawasan kerana pada akhirnya pakaian yang telah dilabel, diletakkan berdasarkan kategori tadi akan akhirnya dihambur-hambur dan bercampur antara satu sama lain sehingga sukar pula untuk dipilih oleh orang yang kemudiannya.

Penerima perlu sentiasa diingatkan supaya mengambil apa yang diperlukan sahaja dan pastikan mereka menyusun semula dengan baik mana-mana pakaian yang tidak mereka perlukan. Ini supaya memudahkan pula penerima seterusnya.

Dengan adanya sistem dan kawalan yang baik, dapat membantu petugas mengenal pasti pakaian daripada kategori manakah yang masih diperlukan dan masih boleh diterima sumbangan daripada orang ramai.

Perkara ini mungkin dianggap remeh kepada sesetengah pihak, namun ia perlu mula diamalkan agar setiap pakaian yang didermakan dapat diuruskan dan dimanfaatkan dengan baik.

Jika tiada sistem yang tersusun dilaksanakan, maka akan berulang lagi peristiwa timbunan baju-baju terpakai di pusat-pusat penerimaan yang bukan sahaja sakit mata memandang tetapi akhirnya akan membawa kepada pembaziran.

Musibah ini bukan sahaja memberi ruang untuk beramal, namun mengajar untuk beramal secara tersusun. Masyarakat juga perlu ditarbiah agar mengambil hanya apa yang perl sahaja dan bersikap bertimbang rasa kepada penerima yang lain.


Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM),
Negeri Selangor