Elak perbalahan, perpecahan dalam gabungan PH, kata Mat Sabu

Elak perbalahan, perpecahan dalam gabungan PH, kata Mat Sabu

Gabungan parti di bawah Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak berbalah sesama sendiri walaupun mempunyai pandangan berbeza sehingga menimbulkan pelbagai masalah  yang akan  membawa kepada perpecahan komponen parti, kata Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu.

Presiden AMANAH itu berkata, faktor utama kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei, menumbangkan Barisan Nasional (BN) disebabkan kekuatan gabungan antara PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Jika AMANAH, Bersatu, PKR, DAP sahaja yang bertanding memang tak menang jika nak ambil negeri dan negara kerana gabungan.

“Kita boleh berbeza pendapat dan pandangan tetapi jangan hingga hingga kita (gabungan parti) bercerai. Jika ada parti lain, tambah pun tidak mengapa, tetapi jangan bercerai.

“Perpaduan empat parti disamping NGO yang bersama dengan kita akan terus pupuk kekuatan yang kita mahukan adalah perubahan.

“Ini kerana kebangkitan rakyat yang menumbangkan BN,” ujarnya ketika berucap pada ceramah PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia di Shah Alam malam tadi.

Menteri Pertahanan ini juga berkata, kerana kekuatan gabungan parti, telah menyedarkan Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam PRK diadakan di Sungai Kandis dan PRK Dun Seri Setia.

“Pas pun tahu gabungan ini penting sebab itu Pas tidak bersendirian, sekarang mereka bergabung dengan Umno,” katanya.

Beliau juga berkata, perpecahan yang berlaku dikalangan komponen BN selepas PRU-14 jelas dalam PRK di Dun Balakong apabila MCA mengunakan simbolnya.

“MCA bertanding guna simbol buah durian (logo MCA) di Balakong ertinya nampak mereka (MCA) nak keluar (BN).

“Kita (Pakatan Harapan) tidak boleh guna simbol sendiri dalam PRU14 dan PRK Sungai Kandis kerana RoS tidak luluskan simbol Pakatan Harapan,” ujarnya.

 

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS