Elak perpecahan Pakatan Rakyat berulang

Abbas Azmi

Kesepakatan politik perlu difahami sepenuhnya bagi mengelak berulangnya perpecahan Pakatan Rakyat, kata Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi.

Menurutnya, terdapat komponen parti Pakatan Rakyat sebelum ini yang gagal mengerti muafakat politik selain bersikap oportunis.

“Apa yang terjadi kepada Pakatan Rakyat dahulu salah satu puncanya ialah ada parti yang tidak memahami sebaiknya apa itu kesepakatan politik.

“Ada yang menyimpan buruk sangka dan mempunyai niat untuk mengambil kesempatan dan sebagainya. Hasilnya apa yang terjadi, Pakatan Rakyat musnah dan rakyat seolah-olah hilang tempat berharap,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesepakatan politik dalam Pakatan Harapan perlu terus dipelihara sebagai syarat utama untuk menumbangkan Umno-Bn pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Mengulas Konvensyen Nasional AMANAH di Alor Setar, Kedah minggu lalu, Abbas yang mewakili AMANAH Selangor sebagai pembahas Pidato Presiden berkata, tajuk perbahasannya, ‘Persediaan Menghadapi PRU-14’ amat sesuai dengan realiti semasa.

“Sebagai parti yang baru berumur dua tahun pastinya perlukan fokus yang lebih untuk mendepani cabaran PRU-14 ini. Konvensyen yang dilihat penting sebelum menghadapi medan PRU-14 yang boleh tiba pada bila-bila masa.

“Kami AMANAH Selangor melihat konvensyen kali ini membawa satu dimensi baru kepada AMANAH itu sendiri. Bermula dengan majlis perasmian yang julung kalinya memberi ruang kepada Penasihat Umum Pakatan Harapan dan Presiden Pakatan Harapan memberi ucapan.

“Ini memperlihatkan keakraban antara Pakatan Harapan dan menperlihatkan kepada rakyat gabungan Pakatan Harapan ini mampu menggantikan BN yang sangat lama berkuasa di Malaysia,” tambahnya lagi.

CATEGORIES
TAGS