Elak pertandingan tiga penjuru, kata Suhaizan

Elak pertandingan tiga penjuru, kata Suhaizan

Barisan pembangkang harus mengelak berulangnya pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, tegas Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kai’at.

Mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar malam tadi, beliau berkata, kegagalan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu hanya akan memberi lebih banyak keuntungan kepada BN.

“Dua PRK dan PRN (Pilihan Raya Negeri Sarawak” sebelum ini membuktikan bahawa suatu formula untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang merugikan barisan pembangkang perlu dirangka segera.

“Semua barisan pembangkang perlu duduk semeja membuat perundingan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi ini.

Untuk rekod, jumlah diperoleh calon BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masing-masing 16,800 dan 12,653 undi melebihi undi gabungan calon Amanah, Pas, Bebas dan undi rosak.

Menurut Suhaizan, kesepakatan kesemua parti pembangkang pada PRU14 nanti penting bagi memastikan hasrat rakyat untuk menumbangkan BN tercapai.

“Jangan hampakan harapan rakyat yang mahukan perubahan,” tambahnya lagi.

Keputusan PRK di P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar menyaksikan perbezaan jumlah undi diperoleh Amanah dan Pas masing-masing 801 undi dan 702 undi.

Sebelum ini, Pakatan Harapan cuba mengajak Pas untuk berunding berhubung penentuan kerusi untuk ditandingi tetapi parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu enggan.

COMMENTS

Wordpress (0)