Malaysia Dateline

Elak pertelagahan kuasa: Pusat dicadang uruskan Lembangan Ulu Muda

Kerajaan Pusat dicadangkan menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) untuk menyusun dan melaksanakan rancangan kawasan tadahan air bagi kepentingan 4.2 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Malah Ulu Muda mesti dikendalikan secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau NCER dimana pengurusan lestari menghendaki Kerajaan Pusat supaya meghentikan sepenuhnya dan melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan dan lain- lain yang merosakkan di Ulu Muda.

Ia bagi membolehlah masalah seperti pertembungan kuasa antara negeri dapat diuruskan dengan baik untuk kepentingan rakyat di ketiga-tiga negeri itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang(PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa (gambar), Kerajaan Pusat harus mempertimbangkan penubuhan pihak berkuasa bebas untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di NCER.

“Seramai 4.2 juta orang di tiga negeri NCER sangat bergantung pada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air. Oleh kerana itu, kesejahteraan masa hadapan KDNK dan sumbangan cukai Perlis, Kedah dan Pulau Pinang amat bergantung pada ketersediaan air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda.

“LLUM dapat dimodelkan daripada Murray Darling Basin Authority (MDBA) yang menguruskan Murray-Darling Basin (MD Basin) untuk Kerajaan Komanwel Australia dan lima buah negeri iaitu Queensland, New South Wales, Wilayah Ibu Kota Australia, Victoria dan Australia Selatan.

“Kerajaan Pusat boleh melaksanakan rancangan pengurusan saintifik dan mesra alam yang mengutamakan perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan 163,000 hektar di Ulu Muda untuk kebaikan rakyat dari segi keselamatan bekalan air jangka panjang,” ujar beliau.

Tambah Ir Jaseni lagi, prioriti utama adalah menguruskan Ulu Muda secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama NCER untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada masa akan datang.

Katanya, secara semula jadi, pengurusan lestari memerlukan Kerajaan Pusat menghentikan sepenuhnya dan melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan termasuk untuk elemen nadir bumi iaitu REE
serta aktiviti pemusnah lain di Ulu Muda.

Jelas Jaseni, formula yang sama harus diterapkan untuk penubuhan LLUM yang dicadangkan bagi memastikan pengurusan Ulu Muda yang adil dan saksama dengan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang terus menguruskan perkhidmatan bekalan air secara bebas.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Mohamad Sanusi Md Nor mengugut kerajaan negeri Pulau Pinang bahawa negeri itu akan menerima air selut jika tidak mahu membayar harga yang sesuai untuk air mentah dari Sungai Ulu Muda yang terletak di Kedah.

Ekoran itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata, Sanusi mahu menutup aktiviti pembalakan yang sedang dilakukan di kawasan tadahan air itu dengan membuat ugutan sedemikian.