Malaysia Dateline

Elak PRN Johor fokus bela rakyat yang terkesan Covid-19

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad berpendapat pilihan raya negeri (PRN) belum lagi sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan rakyat sedang terkesan dengan Covid-19.

Adun Kota Iskandar itu berkata, tumpuan wajar diutamakan kepada keperluan mendesak rakyat termasuk kehilangan sumber pendapatan akibat penularan pandemik tersebut.

“Secara prinsipnya dalam kedaan kita berdepan dengan penularan Covid-19, kita cuba elakkan PRN.

“Sudah tentu rakyat lebih memerlukan pembelaan terhadap ‘perut’ dan ekonomi mereka daripada hal politik di peringkat negeri mahu pun nasional,” katanya dalam forum secara langsung menerusi Facebook Johorkini tengah hari ini.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu juga berpendapat langkah Perikatan Nasional (PN) merampas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat pada Februari lalu mungkin boleh PN lakukan di Johor.

Sehubungan itu, tambahnya, sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri boleh dikemukakan kepada istana memandangkan penyelesaian membabitkan kuasa bukan sahaja melalui demokrasi.

Untuk rekod, PN di Johor memiliki 29 kerusi berbanding PH pula 27 kerusi.

Bersatu di Johor yang mempunyai 11 kerusi Dun dikatakan mengasak Umno bagi mendapatkan lebih banyak jawatan lantikan politik termasuk untuk menerajui GLC negeri.

Ekoran itu, Umno yang mempunyai 14 daripada 56 kerusi pula dikatakan mengugut dengan mengancam untuk mengadakan PRN.

Selain Bersatu dan Umno, DAP mempunyai 14 kerusi, AMANAH (9), PKR (4), MIC (2), Pas (1) dan Bebas (1).