Elak protes jalanan, rusuhan demi keharmonian negara, titah Tunku Sallehuddin

Elak protes jalanan, rusuhan demi keharmonian negara, titah Tunku Sallehuddin

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menasihati rakyat agar menjauhi segala bentuk protes jalanan, rusuhan dan tunjuk perasaan demi memastikan kelangsungan keharmonian dan keamanan negara.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara yang dibina berdasarkan perlembagaan yang menyeluruh, setiap tindakan perlulah berlandaskan demokrasi dan bukannya mengikut kata hati.

“Institusi diraja dan raja pemerintah harus dihormati dan ditaati dengan sepenuh hati.

“Kita (negara) ada proses demokrasi yang membenarkan rakyat membuat penentuan pemerintah dan pemimpin yang mereka mahukan, tanpa perlu melalui konfrontasi dan pergaduhan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini. Turut hadir Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Baginda turut meminta kerajaan melindungi rakyat daripada sebarang bentuk keganasan melalui penguatkuasaan undang-undang memandangkan kumpulan militan Daesh dilihat tidak berhenti daripada melakukan propaganda dan mengembangkan ideologi sesat mereka.

Kumpulan tersebut, titah baginda kini semakin agresif dengan bertindak ganas terhadap pihak yang memusuhi mereka dengan menggunakan senjata api dan menyembelih mangsa.

“Lebih membimbangkan sudah ada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan kumpulan militan ini dan menyasarkan orang-orang kenamaan, kem askar dan balai polis untuk mendapatkan senjata atau wang bagi membiayai perjuangan songsang mereka.

“Sebagai Muslim kita perlu bangkit dan bertindak dengan kembali berpegang dengan teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah serta menjauhi segala bentuk ajaran sesat lagi menyesatkan,” titah baginda.

Tunku Sallehuddin turut meminta kerajaan negeri memberi fokus isu-isu melibatkan kepentingan rakyat khususnya bekalan air berkualiti, peluang pekerjaan mencukupi, kemajuan ekonomi yang seimbang serta jati diri masyarakat yang utuh.

Penubuhan pasukan petugas bagi tujuan penstrukturan semula agihan bekalan air, menurut baginda, perlu dipuji memandangkan ia mampu menjadikan perkhidmatan bekalan air di negeri ini berada dalam keadaan terkawal.

Baginda berharap tindakan secara rundingan bersama-sama kerajaan persekutuan dapat diteruskan agar pengorbanan negeri Kedah dalam mengekalkan kawasan hutan simpan bagi tujuan tadahan air untuk keperluan strategik negara dapat dihargai.

Ini termasuk ratusan ribu ekar tanah sawah yang tidak dibenarkan untuk pembangunan demi menjamin negeri Kedah terus membekalkan 37 peratus bekalan beras negara, titah baginda.

Berhubung rombakan Kabinet baru-baru ini, baginda menyeru Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri memperkukuhkan hubungan baik dengan barisan kepimpinan kerajaan persekutuan yang baharu bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan.

“Saya yakin kita mampu mencapai segala bentuk perancangan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan landasan pembangunan ekonomi tidak tersasar,” titah baginda.

TAGS