Malaysia Dateline

Elak sebar pengaruh politik kepartian dalam sekolah, kata Ikram

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menyebarkan propaganda politik kepartian di sekolah sebagai tindakan yang tidak wajar dan perlu dibanteras.
Presidennya, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata demikian yang merujuk kepada tindakan beberapa pihak menyebarkan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ (Komik BRI) di sekolah-sekolah.
Ini kerana katanya, komik tersebut yang mengandungi unsur propaganda politik kepartian adalah tidak sesuai untuk diedarkan di sekolah-sekolah.
“IIkram berpandangan sekolah merupakan institusi yang mulia bagi mendidik anak-anak menjadi insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sepertimana yang ditegaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Pengedarannya di sekolah-sekolah boleh menimbulkan keresahan kepada ibu bapa dan masyarakat, malahan berpotensi mencetuskan salah faham dan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau membantah apa jua tindakan dari mana-mana pihak yang boleh menggugat keharmonian, muhibah dan perpaduan nasional.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengeluarkan kenyataan yang melarang pengedaran komik tersebut kepada institusi pendidikan termasuk di sekolah.
“Dengan itu, IIkramĀ  menyeru semua pihak agar bersatu hati, berkolaborasi dan meningkatkan kompetensi bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama,” ujarnya.