Malaysia Dateline

Elak Stadium Malawati sesak, MB Selangor gesa hadir ke 18 CAC

Kerajaan negeri Selangor menggesa orang ramai yang dikesan positif Covid-19 dan ingin ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) diminta untuk ke lokasi CAC di daerah masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya memaklumkan, ia bagi mengelakkan berlaku kesesakan di CAC terutamanya di Stadium Malawati, Seksyen 13 di Shah Alam.

“Jika anda dikesan positif dan ingin hadir ke CAC, sila pergi ke CAC di daerah masing-masing. Ini bagi mengelakkan berlaku kesesakan di CAC terutama di Stadium Melawati.

“Turut dikesan beberapa kes pesakit COVID-19 dari luar Selangor hadir ke CAC Stadium Melawati yang menyebabkan kesesakan dan kelewatan menunggu.

“Saya menggesa semua untuk patuh arahan tidak merentas negeri dan pergi ke CAC yang berdekatan bagi memudahkan urusan,” kata pemimpin PKR itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua.

Beliau turut berkongsi senarai 18 CAC di bawah tiga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) iaitu Klang, Gombak dan Hulu Selangor selain Petaling yang mengkhususkan hanya Stadium Malawati sebagai lokasi CAC.

Berdasarkan senarai tersebut, PKD Klang membabitkan Klinik Kesihatan (KK) Pelabuhan Klang, KK Pulau Indah, KK Sungai Bertik, KK Anika, KK Bukit Kuda, KK Meru dan KK Bandar Botanik.

Bagi PKD Gombak, orang ramai boleh ke CAC di KK Kluang, KK Batu Arang, KK AU2, KK Batu 8, KK Taman Ehsan, KK Hulu Kelang, KK Sungai Buloh, KK Selayang Baru, KK Rawang, dan KK Gombak Setia manakala bagi PKD Hulu Selangor ialah Klinik Desa Ulu Yam Lama.

Semalam, Selangor kekal mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi sebanyak 1, 275 kes menjadikan angka keseluruhan kes pandemik itu berjumlah 18,564 kes.