Malaysia Dateline

Elak tekanan emosi, Jepun tegah China buat ujian calitan dubur kepada warganya

Jepun meminta China supaya tidak menjalankan ujian calitan dubur ke atas warganya untuk mengesan Covid-19 dengan menyatakan kaedah itu boleh mendorong kepada tekanan emosi.

Campur tangan Tokyo itu berlaku selepas laporan menyatakan anggota diplomatik Amerika Syarikat (AS) di China mengadu menjalani ujian itu yang dinafikan oleh Beijing.

China yang berjaya mengawal Covid-19 menyatakan bulan lalu ujian calitan dubur lebih efektif daripada ujian tekak dan hidung kerana virus dapat bertahan lebih lama dalam sistem pencernaan.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Jepun, Katsunobu Kato, berkata Tokyo membuat permintaan rasmi melalui kedutaannya di Beijing supaya rakyatnya dikecualikan.

“Pada saat ini, kami belum menerima maklum balas mereka akan mengubah langkah ini… kami akan terus memberi tekanan,” katanya lapor AFP.

China mendakwa ujian calitan dubur lebih berkesan daripada ujian tekak dan hidung.

Beliau juga berkata, setakat ini tiada maklumat negara lain menggunakan kaedah tersebut.

Menjawab mengenai aduan itu, Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin memberitahu kaedah ujian dijalankan Beijing mengikut sains dan sesuai dengan perubahan dalam situasi wabak serta undang-undang dan peraturan yang relevan.

Bulan lalu, media AS melaporkan kakitangan Jabatan Luar AS di China mengadu mengenai kaedah itu, tetapi Beijing menafikan laporan berkenaan dengan menyatakan ia tidak pernah meminta pegawai diplomatik AS di China untuk menjalani ujian calitan dubur.

Pegawai di China menggunakan calitan dubur untuk menguji individu dianggap berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, termasuk penduduk kawasan kejiranan dengan kes yang sudah disahkan serta pelancong antarabangsa.

Tetapi mereka mengakui agak sulit menggunakan ujian calitan dubur, berbanding kaedah lain yang digunakan kerana teknik itu tidak selesa.