Malaysia Dateline

Elak tercicir, benarkan pelajar tahfiz masuk sekolah kebangsaan

AMANAH menggesa kerajaan segera bertindak menangani masalah keciciran pelajar-pelajar tahfiz ekoran lebih banyak pusat tahfiz swasta bakal ditutup akibat pandemik.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional Zolkharnain Abidin percaya ratusan pelajar tahfiz lelaki dan perempuan bakal tercicir dalam pelajaran apatah lagi kebanyakan daripada mereka berstatus anak yatim.

“Di Perak, 60 bakal ditutup. Jika dihitung di seluruh negara, saya fikir mencecah ribuan pusat tahfiz yang telah dan menunggu hari untuk menghentikan operasi.

“Jika 1000 ditutup dan setiap pusat tahfiz ada purata 30 orang pelajar, bermakna 30,000 remaja kita bakal tercicir dari dunia persekolahan,”kata beliau menerusi Facebook.

Malangnya, kata beliau semenjak pandemik melanda negara tidak kedengaran suara daripada kerajaan untuk menangani isu ini termasuk melihat keadaan nasib pelajar-pelajar tahfiz.

Bagaimanapun beliau mencadangkan agar kerajaan membenarkan pelajar tahfiz untuk memasuki sekolah aliran kebangsaan yang sesuai apabila sekolah beroperasi seperti biasa.

Katanya, jika mereka tidak berupaya mengikuti kurikulum biasa di sekolah aliran kebangsaan, kurikukum khusus mesti dirangka segera untuk mereka.

Tambahnya, kerajaan mesti membantu pusat tahfiz swasta yang sudah ‘establish’ untuk menerima pelajar tahfiz dari pusat tahfiz lain yang ditutup.

“Ketiga-tiga cadangan ini boleh diambil oleh menteri agama yang baru. Laksanakan dan masukkan dalam repot 100 hari perkhidmatannya,” kata beliau.

Sebelum ini, dilaporkan 60 maahad tahfiz di Perak yang berdepan risiko ditutup selepas tidak dapat beroperasi dalam tempoh pandemik Covid-19 sejak Mei lalu.

Pusat tahfiz terbabit hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan susulan tiada pelajar yang memulakan sesi pengajian dan dianggarkan 2,500 pelajar akan keciciran manakala 300 guru dijangka akan kehilangan pekerjaan.