Malaysia Dateline

Elak tutup ruang perbincangan sihat

Orang Islam sebahagiannya takut dengan kalimah, kenapa? Kalau soalan kenapa dijawab, jawapan itu berbentuk mencari kesalahan orang lain.

Misalnya, apa isunya? Tolak hukum Allah. Bagaimana tolak? Tidak mahu gubal undang-undang hudud. Kenapa tolak? Kerana kamu musuh Islam, nak jadi kafir.

Soalan kenapa dijawab dengan cara menyalahkan pihak lain atau menghukum pihak lain. Jarang sekali jawapan kepada soalan kenapa bertujuan mencari penyelesaian dan memperbaiki diri sendiri.

Contoh lain. Apa isunya? Tolak tulisan jawi. Bagaimana tolak? Tak benarkan tulisan jawi diajar di sekolah. Kenapa? Kerana kamu anti Melayu, anti Islam, anti tulisan al-Quran.

Jawapan kepada soalan kenapa adalah menyalahkan orang lain, bukan untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri. Apa salahnya jika soalan, kenapa tulisan jawi ditolak? Dijawab, kerana mungkin cara kita memperkenalkan tulisan itu kepada mereka kurang sesuai.

Jawapan sebegitu membuka ruang perbincangan dan perdebatan sihat. Jawapan menyalahkan pihak lain menutup pintu-pintu itu.

Nanti ada orang yang berkata, asyik kita saja mengalah, bertoleransi, habis mana izzah kita?

Saya tidak pandailah nak jawab soalan itu, tapi itulah soalan yang dibangkitkan oleh Umar ketika dia tidak bersetuju dengan Nabi SAW apabila terma-terma perjanjian Hudaibiah baginda persetujui.

Tiga tahun selepas itu, dengan persetujuan terma-terma itu oleh baginda, kota Mekah berjaya dibuka dan orang musyrikin masuk Islam berbondong-bondong.

Demikianlah cara saya berfikir. Kalau setakat nak kata mereka itu ekstremis, pelampau, haramkan saja, halau balik Tongsan, tak payah fikirlah. Hukum saja! Kan senang?

Haramkan pertubuhan berdaftar?

Mengharamkan sesuatu pertubuhan berdaftar bukanlah tindakan yang baik. Bahkan tindakan itu lebih berbahaya kepada negara.

Apabila sesuatu pertubuhan berdaftar secara sah, pertubuhan itu dapat diketahui siapa pemimpinnya, biodata mereka, rekod keahlian, penyata kewangan, aktiviti dan sebagainya.

Pendek kata, pertubuhan itu boleh dikawal dengan maklumat yang ada walaupun bukan kawalan penuh kerana mungkin ada hal-hal yang disembunyikan.

Namun, sekurang-kurangnya kawalan dan pemantauan boleh dibuat dari semasa ke semasa. Orang ramai juga boleh mengetahui kewujudannya dan mereka responsif terhadapnya.

Sebaliknya, jika sesuatu pertubuhan diharamkan, pemimpin dan anggota pertubuhan berkenaan berpotensi untuk menjalankan gerakan bawah tanah.

Tiada rekod, penyata, senarai pemimpin dan segala-galanya bersifat rahsia. Orang ramai juga tidak sedar kewujudan mereka.

Dari satu sudut, hal ini lebih berbahaya kerana kerajaan hilang kawalan terus terhadap aktiviti dan apa saja yang berkaitan dengannya.

Mereka juga boleh secara rahsia menghasut orang ramai untuk menyertai gerakan rahsia mereka. Bagi sebahagian orang, menyertai gerakan rahsia lebih diminati berbanding gerakan nyata.

Sebab itu, bagi saya, desakan mengharamkan pertubuhan A atau B, parti C atau D adalah desakan yang tidak sihat.

Hal itu memungkinkan pelbagai unsur negatif jika pertubuhan atau parti berdaftar berkenaan benar-benar diharamkan.

Biarlah pertubuhan berkenaan wujud secara sah dan mereka boleh dipantau dengan undang-undang dan peraturan yang ada.

Ambillah mudarat yang ringan untuk menolak mudarat yang besar.

 

*Petikan dari akhbar Mingguan Amanah, Bil 185, 12-18 Januari 2020.