Malaysia Dateline

Elakkan aliran tunai industri keselamatan swasta lumpuh, kata PIKM

Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) hari ini mencadangkan sembilan perkara bagi memastikan kelancaran proses perkhidmatan syarikat keselamatan swasta sebagai perkhidmatan penting negara.

Presidennya, Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, cadangan pertama adalah daripada segi pembayaran segera bagi tunggakan terdahulu dan semasa sepanjang perkhidmatan.

Selain itu katanya, memberi kelonggaran pergerakan kepada pihak pentadbiran atau pegawai bertanggungjawab untuk membuat pengesahan pembayaran.

“Kedua, pengecualian faedah tanpa cagaran bagi semua kemudahan pinjaman bank serta kelonggaran pembayaran SST bagi industri keselamatan setiap enam bulan sekali sehingga Mac 2021.

“Ketiga, pembekuan kenaikan gaji mininum bagi tempoh tiga tahun akan datang akan lebih. Seterusnya penambahan nilai Program Subsidi Upah daripada RM600 bagi membantu majikan mengekalkan pekerja.

“Cadangan kelima pula, adalah berkaitan kelonggaran pembayaran statutori seperti EIS, Perkeso serta pengecualian pembayaran Fomema dan Levi untuk penggajian pengawal keselamatan Nepal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramli lagi, syor seterusnya adalah tentang pengurangan peratusan caruman KWSP majikan sebanyak empat peratus.

“Saya turut mencadangkan agar tawaran pemansuhan bayaran penalti lewat bayar Kwsp, Socso, Kastam dan LHDN bagi tunggakan semasa dan terdahulu.

“Selain itu, cadangan lain adalah bantuan peralatan penting seperti topeng muka, hand sanitizer dan sarung tangan serta menghapuskan lantikan terus pengawal keselamatan berkontrak (CFS).

“Kami terpanggil mengemukakan semua cadangan tersebut susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi memastikan kelancaran proses perkhidmatan syarikat keselamatan swasta,” katanya lagi.