Mata merupakan anugerah yang tidak ternilai. Dengan pancaindera ini, kita dapat melihat persekitaran di sekeliling selain aktiviti seharian juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Umumnya, setiap orang mempunyai warna mata yang berbeza-beza, ada yang berwarna hitam, coklat, biru dan hijau. Bukan sahaja terdapat warna mata yang berbeza, ia juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
Oleh itu, sebahagian orang sanggup memakai kanta lekap (contact lenses) pada mata mereka. Walau bagaimanapun, timbul persoalan sama ada pemakaian ini memberikan kesan kepada mata?
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian oleh Pakar Oftalmologi & Felo Klinikal Kornea, Doktor Lael Salim.
Risiko Pemakaian Kanta Lekap
Dari sudut pandang seorang doktor mata, betul ke pemakaian kanta lekap (contact lenses) tu tak bagus untuk mata?
Kali ni saya nak jelaskan pandangan peribadi saya sebagai seorang professional dalam bidang Oftalmologi.
Sebenarnya macam ni.
Kanta lekap bagi saya ialah suatu Medical Device. Ia membantu orang yang tak sesuai memakai cermin mata untuk melihat.
Ia sangat membantu terutama dalam kes power tak seimbang antara mata kiri/kanan & orang yang pekerjaannya memang tak boleh pakai cermin mata.
Saya sendiri banyak meminta bantuan optometrist untuk mempreskripsi kanta lekap bagi pesakit tertentu seperti keratoconus atau rabun silau yang terlalu tinggi.
Adakala saya juga gunakan kanta lekap sebagai ‘bandage’ untuk kes luka pada kornea atau selepas pembedahan.
Tapi betul ke kornea yang selalu pakai kanta lekap akan menjadi tidak sihat?
Jawabnya: BETUL.
Kornea kita mendapat oksigen dan nutrien dari air mata. Kanta lekap boleh menghalang proses ini dan menyebabkan mata kita mengalami perubahan.
Ini terutamanya jika kanta lekap tersebut saiznya tak sesuai dengan saiz mata. Ibaratnya, kornea kita rasa ‘tercekik’. Oh ya, tahu tak sebenarnya kanta lekap juga ada saiz?
Ini bertambah teruk jika material kanta lekap tersebut tidak berkualiti. Sama macam baju yang fabriknya teruk.
Sebab tu jika memilih untuk memakai kanta lekap, penting untuk membeli dari kedai optometrist bertauliah. JANGAN beli secara sebarangan atau secara online dari kedai kosmetik. Perasan tak kadangkala mata lebih senang jadi merah bila pakai kanta lekap? Anda rasa kenapa?
Orang yang pakai kanta lekap wajib jaga kebersihan dengan baik dan ikut arahan penggunaan yang sepatutnya.
Jika kanta lekap untuk sebulan, jangan gunakan selama 5 minggu. Jika sehari boleh pakai 8 jam, jangan pakai 10 jam. Jika tak pakai, air dalam ‘casing’ mesti diganti selalu.
Saya berani guna perkataan ‘wajib’ sebab saya dah tengok banyak orang yang dapat kudis kornea yang teruk akibat tak jaga kebersihan dengan baik. Serupa macam gambar ni.
Ini bukan gambar untuk menakutkan. Saya dah tengok beratus-ratus kes macam ni.
Ya, akhirnya mereka jadi buta.
Sebab tu saya sangat tidak setuju orang yang selalu pakai kanta lekap semata-mata nak kelihatan cantik, bukan untuk penglihatan.
Risiko yang di ambil tu tak berbaloi!
Kalau sesekali mungkin tak apa. Tapi itu pun mesti berhati-hati. Jangan beli sebarangan. Jangan pakai terlalu lama.
Saya nak beri satu tip untuk tanggalkan kanta lekap yang melekat kuat pada mata.
Letakkan pelembab mata dengan banyak. Perlahan-lahan, tutup mata & urut bahagian pinggir kanta. Buka mata, tambah lagi pelembab, ulang proses sampai kanta jadi longgar.
Ini untuk elakkan kornea dari luka.
Saya rasa, sampai sini dulu pesanan saya. Jaga mata anda baik-baik. Penglihatan ialah anugerah yang tak ternilai.
Jika awak semua rasa ada manfaatnya untuk seseorang yang tersayang, silakan kongsi, retweet, quote tweet atau apa saja.
Semoga bermanfaat!
Dari sudut pandang seorang doktor mata, betul ke pemakaian kanta lekap (contact lenses) tu tak bagus untuk mata?
Kali ni saya nak jelaskan pandangan peribadi saya sebagai seorang professional dalam bidang Oftalmologi.#MedTweetMY pic.twitter.com/2yWnxcnJDB
Dr Lael Salim (@Dr_Lael_Salim)