Elakkan pendekatan bersifat Talibanisasi dan melampau, kata Pemuda AMANAH

Elakkan pendekatan bersifat Talibanisasi dan melampau, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Sungei Petani mengikut rapat perkembangan dan isu gejala sosial dalam kalangan masyarakat khususnya di Daerah Kuala Muda, Sungei Petani.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda AMANAH Sungei Petani, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir semalam.

Jelas beliau lagi, pada masa yang sama Pemuda AMANAH juga menerima aduan dan memberi perhatian kepada tindakan Skuad Badar yang sering kali membuat tindakan sendiri atas nama ‘Nahi Mungkar’.

Malah katanya, Pemuda AMANAH secara asasnya bersetuju malah mendokong semua usaha NGO bersama kerajaan membentuk Biah Solehah dalam kalangan masyarakat Islam.

“Namun begitu, agama dan negara ini mempunyai sistem dan peraturan yang mengikat demi kemaslahatan dan aulawiyat nama baik Islam itu sendiri.

“Usaha bersifat talibanisasi dan ghuluw (melampau) adalah tidak bertepatan dengan Islam, sebaliknya jauh terpesong daripada suri teladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

“Pemuda AMANAH Sungei Petani berharap akan wujud kerjasama padu antara Skuad Badar dengan Pejabat Agama Daerah serta Pejabat Exco Agama Negeri dalam usaha mencegah ‘Nahi Mungkar’ berbanding penguatkuasaan yang tidak mengikut SOP serta tidak selari dengan Maqasid Syari’yah,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, adalah difahamkan Skuad Badar mempunyai hubungan baik dengan pendakwah bebas Ustaz Husam Datuk Badruddin yang juga merupakan adiik kepada Pegawai Agama Menteri Besar Kedah, iaitu Ustaz Syauki Badruddin.

Sehubungan itu sarannya, pertalian yang baik ini dapat dimurnikan secara ikhlas dan telus demi kepentingan nama baik agama Islam.

“Sedangkan ketika berperang sekali pun, Islam menjamin maruah manusia.

“Apa lagi dalam keadaan damai yang sebegini rupa.

“Oleh kerana itu adalah lebih untuk mengurus masyarakat dengan cara yang lebih berhemah serta aman dan makmur, ” tambahnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah.