Malaysia Dateline

Elakkan tiga politik racun yang boleh gagalkan negara

Rakyat Malaysia diminta menjauhi tiga contoh politik racun yang telah melanda rakyat pelbagai kaum di negara ini bagi membolehkan negara tidak jatuh menjadi negara gagal.

Ketiga-tiga contoh tersebut adalah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa orang bukan Islam sebagai punca utama rasuah, Langkah Sheraton dan kegagalan Datuk Seri Saifudin Abdullah ketika menjadi Menteri Luar kerajaan Pakatan Harapan dalam mengendalikan isu ICERD.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya hari ini memberikan tiga contoh politik racun itu.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Jeffrey Cheah, pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway dalam surat terbuka sempena Hari Kebangsaan kepada rakyat Malaysia.

Jeffrey menulis, “Kita semua mesti melakukan apa yang kita boleh untuk membersihkan ketoksidan yang mempengaruhi perbualan kita mengenai kaum, agama dan budaya.”

Bagi veteran DAP Lim Kit Siang itu, rakyat negara ini perlu membersihkan racun politik yang sedang berlegar dalam negara dan mengecam perbuatan sedemikian agar negara ini tidak menjadi negara yang buruk dan gagal.

Yang paling terkini, katanya, adalah kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa orang bukan Islam sebagai punca utama rasuah dan beliau sanggup mempertahankannya di mahkamah terhadap kenyataan ini.

“Tidak perlu mahkamah membuat keputusan kerana orang awam sudah menjatuhkan hukuman kepada Hadi sebagai fanatik dan pelampau yang tidak bersedia untuk menjadi rakyat Malaysia, tetapi hanya melihat dari kacamata pelampau kaum dan agama,” kata Kit Siang.

Contoh kedua politik racun, katanya, berlaku pada penghujung tahun 2018 apabila Saifudin Abdullah selaku Menteri Luar Kerajaan Pakatan Harapan bersalah dalam mengendalikan isu ICERD sehingga DAP menjadi mangsa serangan sebagai anti-Malayu dan anti-Islam serta anti-raja-raja Melayu sehingga sekarang.

“Sehingga sekarang, kita masih lagi hidup dalam suasana yang disebabkan oleh racun politik ini yang digerakkan oleh ICERD fiasco pada tahun 2018 yang antaranya digerakkan oleh Hadi dan Pas,” katanya.

Racun poltik yang ketiga, katanya, adalah konspirasi sehingga lahirnya Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 dimana kerajaan Pakatan Harapan yang ada dijatuhkan selepas 22 bulan sahaja mentadbir negara. Ia dilakukan secara yang tidak bermaruah, tidak berperlembagaan dan tidak berdasarkan undang-undang yang sah, katanya.

Langkah ini telah membawa kepada pembentukan dua kerajaan pintu belakang dan mimpi ngeri kepada rakyat yang mahukan Malaysia yang bersatu, adil dan makmur yang boleh memenuhi potensinya untuk menjadi sebuah negara besar bertaraf dunia.