Malaysia Dateline

Elaun barisan depan: Bermula dengan harapan, kini kekecewaan

Bermula dengan harapan apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan petugas barisan hadapan Covid-19 akan mendapat elaun khas RM600 sebulan.

Namun apabila ia dilaksanakan, baru mereka sedar, tidak sampai 30% dari mereka yang bertugas di barisan hadapan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat elaun itu.

“Saya jangka hanya sekitar 10 – 20 % sahaja daripada petugas barisan depan KKM ini mendapat elaun ini,” kata seorang doktor yang bertugas dengan Institut Kanser Negara yang kini ditugaskan memerangi Covid-19.

Beliau sendiri yang bertugas untuk membuat screening (ujian awal) Covid-19 tidak mendapat elaun yang diumumkan oleh Muhyiddin itu.

Perdana Menteri pada 27 Mac lalu mengumumkan, kerajaan menambah elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang terbabit dalam pengurusan COVID-19 daripada RM400 kepada RM600 sebulan.

Elaun itu mula dibayar pada 1 April lalu dan akan diberikan sehingga wabak berkenaan berakhir.

Ketika itu, seramai 169,000 kakitangan KKM dikatakan akan mendapat elaun itu.

Menurut doktor itu, beliau dimaklumkan, petugas yang akan mendapat elaun khas ini adalah yang bertugas dari menerima atau mendaftar pesakit sehingga mengesahkan pesakit itu tidak sakit lagi (dischange).

“Jadi kami yang membuat screening ini tidak terlibatlah kerana kami diluar circle itu padahal kami berhadapan dan dipanggil bertugas hanya kerana Covid-19 ini,” katanya.

Menurut beliau, kadar bayarannya juga tidak semestinya RM600 sebulan. Jika petugas ini terlibat dengan pesakit Covid-19 kurang dari 15 hari, mereka hanya akan mendapat separuh sahaja iaitu RM300 sebulan.

“Yang standby pun tak dapat kalau tak terlibat dengan pesakit. Misalnya driver. Dia kena standby untuk membawa pesakit Covid-19. Kalau tidak ada pesakit hari itu, dia tak dapat elaun itu,” katanya.

Akibat dari harapan yang diberikan tidak sama dengan apa yang mereka dapat, ramai petugas barisan depan mula terasa mereka dikhianati atau kecewa.

“Misalnya ramai antara rakan-rakan setugas saya, misalnya pembantu kesihatan mula kecewa kenapa mereka tidak dapat elaun ini,” kata sumber itu.

Sehubungan dengan itu, mereka meminta agar kaedah pemberian ini dikaji semula agar lebih adil untuk semua kakitangan barisan hadapan.

Sementara itu, media melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan pihak yang kurang jelas mengenai perkara itu supaya meneliti semula ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu.

“Elaun (khas) bukan untuk semua 260,000 warga KKM. (Sebaliknya) Untuk mereka di barisan hadapan dan terbabit dengan COVID-19 sahaja.

“Apa pun, sila rujuk ucapan Perdana Menteri,” katanya sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 7 April lepas.