Malaysia Dateline

Elaun kepada pengerusi MPKK di Perak mulai Ogos lalu

Seramai 829 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perak atau penghulu menerima khabar gembira selepas kerajaan negeri mengumumkan akan membayar elaun bulanan bermula Ogos lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata setiap pengerusi MPKK akan menerima elaun daripada kerajaan negeri berjumlah RM200 sebulan bermula Ogos, manakala RM500 sebulan daripada kerajaan Persekutuan bermula Oktober.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberi elaun bermula dari Oktober.

“Saya akan pastikan pejabat kewangan negeri dapat salurkan elaun tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmi majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi MPKK negeri 2018-2020 di sini hari ini.

Ahmad Faizal menjelaskan perkara itu diputuskan selepas kerajaan negeri mengambil kira bahawa kebanyakan pengerusi MPKK atau penghulu telah memulakan tugas sejak Ogos dengan menggunakan sumber kewangan sendiri.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, beliau menggesa semua pengerusi MPKK supaya celik teknologi maklumat agar cekap menggunakan aplikasi seperti e-PBT dan e-Aduan untuk memastikan urusan tugasan menjadi lebih baik.

Katanya penggunaan gajet dalam urusan pentadbiran mampu memberi kesan kepada peningkatan produktiviti khususnya penyampaian maklumat.

— BERNAMA