Malaysia Dateline

Elaun kursus Askar Wataniah akan dikaji

Kementerian Pertahanan akan mengkaji elaun menyertai kursus Rejimen Askar Wataniah dari semasa ke semasa dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat di negara ini menyertai unit beruniform itu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kajian elaun itu akan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan dan kempen untuk menarik masyarakat menyertai Askar Wataniah sentiasa dijalankan.

“Memang sekarang ini elaun kehadiran kursus RM6 untuk satu jam, manakala bagi pegawai pula, elaun mereka pada kadar RM7.80 untuk satu jam. Perkara ini kami akan kaji dari masa ke semasa.

“Mereka yang dalam umur tertentu, mempunyai kesihatan yang baik boleh menyertai Askar Wataniah dan semua kaum turut digalakkan menjadi anggota.

“Dalam cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hanya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diperuntukkan kepad orang Melayu sejak sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Selain daripada itu, semua kaum boleh menyertainya. Tahniah diucapkan terutama sekali kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) kerana anak muda di situ ramai yang menyertai Askar Wataniah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Su Keong Siong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Keong Siong (PH-Kampar) meminta Mohamad (PH-Kota Raja) menjelaskan tentang perancangan atau program yang dijalankan pihak kerajaan dalam usaha untuk menggalakan lebih ramai remaja khususnya berumur 18 tahun menyertai unit beruniform tersebut.