Malaysia Dateline

Elaun Menteri sudah pun ditolak pada hari pertama, kata Khalid

Desakan beberapa pihak supaya kerajaan memotong elaun menteri Kabinet sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan negara, sememangnya sudah dilakukan sejak hari pertama Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, elaun sebagai Ahli Parlimen yang juga menggalas tugas sebagai menteri, telah dipotong keseluruhannya berbeza dengan kerajaan sebelum ini yang memperoleh kedua-dua elaun sebagai MP dan juga menteri.

“Elaun ahli parlimen telah dipotong pada hari pertama bila kita ambil alih kerajaan. Kalau nak ikutkan secara purata, paling kurang dipotong RM10,000 sebulan seorang.

“Tak campur lagi dengan elaun kehadiran. Kita hadir di Parlimen pun tak dapat elaun yang berjumlah RM300 ke RM400 kerana itu termasuk dalam elaun ahli parlimen,” katanya dalam sidang media, di Menara Seri Wilayah, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa cadangan pihak yang menyarankan lebih baik elaun ahli politik dipotong berbanding pemotongan elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Malah, menurut Pengarah Komunikasi AMANAH itu lagi, 30 peratus gaji sebagai menteri secara automatik akan dipotong dan disumbangkan terus kepada parti masing-masing.

“Kalau orang mengadu kata gaji menteri tinggi, dulu jauh lebih lagi tinggi. Jika merujuk pada AMANAH, 30 peratus akan dipotong dari gaji menteri kepada parti di mana ia adalah adil sebab parti berusaha memenangkan kita. Itu juga cara nak elakkan rasuah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut memberi reaksi setuju untuk memotong elaun menteri kabinet.

Selain itu, antara menteri yang bersedia elaunnya ditolak adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.