Malaysia Dateline

Elaun RM200 akan motivasikan anggota bomba 

Pemberiaan Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba RM200 bakal memberikan motivasi kepada seluruh warga di negara ini untuk memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, seramai 14,400 anggota JBPM akan mendapat manfaat menerusi pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba RM200 sebulan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng pada Sidang Dewan Parlimen, Jumaat lalu.

Katanya, nilai tersebut membabitkan peruntukan berjumlah RM35 juta setahun bagi 2020 sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan diberikan warga bomba yang sentiasa bertungkus-lumus dalam membantu masyarakat tanpa mengira masa dan tempat.

Datuk Handam Wahid

“Pemberian elaun ini disifatkan penyuntik semangat serta motivasi kepada warga bomba untuk memberikan khidmat bakti lebih baik kepada masyarakat.

“Sebenarnya peruntukan berkenaan telah dipohon adalah bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup pada masa kini yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemantapan Ketua Zon Dan Balai Siri 2/2019 di Penwiew Konvensyen Centre (PCC) di Kuching hari ini.

Justeru beliau berharap dengan pemberian elaun itu, warga bomba juga akan dapat terus bersemangat menabur bakti kepada masyarakat dalam pelbagai misi atau khidmat kebombaan termasuklah keselamatan kebakaran, khidmat kemanusiaan dan pengurusan bencana atau kemalangan.

Jelasnya, pemberian elaun tersebut adalah sebagai bukti bahawa setiap khidmat warga bomba sama penting dengan khidmat diberikan kepada agensi lain di negara ini.

Mohammad Hamdan turut memberi tahu bahawa JBPM sentiasa berdiri teguh di belakang kerajaan sekali gus menjunjung setia sebagai penjawat awam di bawah pemerintahan kerajaan sedia ada.

“Sebagai penjawat awam, kami melahirkan kesetiaan yang tinggi di bawah pemerintahan yang sedia ada apatah lagi baru memasuki dua tahun memimpin negara.

“Kita akui dalam masa dua tahun ini merupakan waktu penyesuaian dengan kepimpinan kerajaan baru tetapi kesetiaan kami sebagai penjawat awam tetap tinggi,” tambahnya.

Turut hadir ialah Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Khirudin [email protected] serta seramai 73 peserta terdiri dari Pegawai JBPM Sarawak dan Sabah