Malaysia Dateline

Elaun RM5,000 Sasterawan Negara: Langkah bijak PH

Tiba-tiba Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pemberian elaun kepada tujuh orang Sasterawan Negara (SN), pada Isnin 24 Jun lalu.

Saya kata tiba-tiba kerana sebelumnya tidak pernah terdengar apa-apa berita pun ke arah itu. Waktu itu saya dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Usman Awang (YUA) sedang bermesyuarat. Salah seorang ahli, Mohd Khair cuba hubungi seorang SN untuk urusan segera. Dia diberitahu SN tersebut bersama SN yang lain berada di pejabat Menteri Kewangan.

Mengapa Sasterawan Negara pergi ke pejabat Menteri Kewangan? Kami jadi agak hairan. Dalam YUA ada tiga orang SN yang jadi Ahli Lembaga Penasihat, iaitu A.Samad Said, Muhammad Hj Salleh dan Anwar Ridhwan.

Sedang kami bertanya-tanya itu Mohd Khair telah membuka berita langsung dari Internet di henfonnya, yang menyiarkan Menteri Kewangan sedang mengumumkan pemberian elaun istimewa kepada para SN – RM5,000 setiap bulan untuk setiap orang SN.

Suatu berita yang sangat menggembirakan. Sekejap sahaja berita itu pun mendapat reaksi para penulis dari seluruh negara. Ada pelbagai reaksi. Antara yang menarik ialah ada pihak mendakwa bahawa pemberian elaun tersebut adalah hasil usaha yang telah lama dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sejak zaman BN lagi.

Menteri Kewangan sekarang hanya memberi persetujuan sahaja dan dia mengambil kesempatan mengumumkannya, kata mereka. Sepatutnya Menteri Pendidikan yang membuat pengumuman tersebut, kerana DBP berada di bawah Kementerian Pendidikan. Tetapi Dr Maszlee Malik Menteri Pendidikan tidak hadir pun dalam majlis itu. Kenapa?

Dan kenapa pula Anwar Ibrahim Presiden PKR dan bakal Perdana Menteri Malaysia selepas Dr Mahathir, berada di dalam majlis tersebut?

Turut hadir bersama enam orang SN (seorang tidak hadir – Noordin Hasan, kerana tidak sihat) dalam majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Wah, dalam politik, siapa berada di mana bersiapa siapa, adalah penting dan memberi implikasai yang besar. Atau di dalam seni-budaya juga demikian?

Walau apa pun, pemberian elaun tetap setiap bulan untuk sepanjang hayat bagi setiap SN ini adalah sesuatu yang penting dan sangat bermakna dalam perkembangan sastera dan budaya Malaysia.

Bacalah ia dalam konteks dan perspektif apa pun, ia adalah sesuatu yang penting dan sangat bermakna. Tak kiralah itu inisiatif siapa – samada oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang atau oleh pihak DBP sejak lama – yang pentingnya ia memberi kesan positif kepada makna dan status Sasterawan Negara itu sendiri, dan juga kepada dunia kesusasteraan Malaysia.

Dan lebih daripada itu ia juga memberi makna dan implikasi yang penting kepada kerajaan PH sekarang. Ia menjadi salah satu tindakan bijak yang diambil oleh pasukan menteri-menteri PH yang selalu dikatakan tidak pandai dan tidak berpengalaman itu.

Dengan belanja yang begitu kecil, hanya RM5,000 bagi seorang SN setiap bulan dan kita hanya ada tujuh orang SN (setakat ini dan akan menjadi lapan tidak lama lagi), bermakna RM35,000 sebulan dan RM420,000 setahun, dan ia mampu mengangkat imej kerajaan PH menjadi lebih baik (sedikit atau banyak) – sesungguhnya ini adalah suatu langkah dan tindakan yang sangat bijak.

(Tujuh orang SN sekarang ialah A.Samad Said, Muhammad Hj Salleh, Noordin Hassan, Anwar Ridhwan, Baha Zain, Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) dan Zurinah Hassan.)

Apakah ia hasil suatu Tekad Politik (Political Will) atau suatu Tekad Budaya (Cultural Will), biarlah kita tidak memperdebatkannya dulu di sini, kerana di antara kita masih lagi ada orang yang belum faham apa itu Tekad Budaya. Namun saya ingin tegaskan bahawa bagi saya ini adalah jelas suatu kesan positif dari Tekad Budaya terhadap kehidupan masyarakat umum – baik ia dilihat dari kacamata politik mahupun kacamata budaya.

Makanya saya sangat tertarik membaca reaksi dan komen-komen netizen di fesbuk, yang jelas mulai menampakkan perubahan sikap dan pemikiran, khasnya di kalangan golongan penulis dan budayawan Melayu.

Dan saya positif bahawa perubahan ini akan terus berlaku sedikit demi sedikit, dengan syarat tidak ada perkara “bodoh” yang akan dilakukan atau berlaku di kalangan menteri-menteri PH yang serba kurang pengalaman itu, berikutan daripada satu tindakan yang bijak ini.

Tempoh setahun lebih sedikit kepemimpinan PH menerajui masyarakat Malaysia dengan beberapa kejutan budaya yang dibawanya, terutamanya keterbukaan dan kebebasan bersuaranya, barangkali sudah mencukupi sebagai satu fasa permulaan yang penuh keliru dengan beberapa tindakan kurang bijak itu.

Tempoh permulaan selama 13 bulan itu cukuplah untuk para menteri PH mempelajari apa-apa yang perlu dipelajari, dan kini berusahalah menyesuaikan diri semula dengan keperluan-keperluan kepemimpinan baru yang sangat mencabar, dengan kerenah masyarakat kita yang pelbagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai budaya.

Seperti saya selalu tegaskan melalui kolum ini bahawa masyarakat Malaysia memerlukan lebih banyak aktiviti seni-budaya bagi mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat agar kita tidak berpolitik berlebih-lebih/melampau seperti yang berlaku selama 30-40 tahun lalu.

Saya berharap persetujuan kabinet baru PH memperakui kepentingan sastera melalui pemberian elaun tetap bulanan RM5,000 sepanjang hayat kepada setiap SN itu adalah langkah baru memulakan pentadbiran kerajaan yang lebih mesra seni-budaya; yang akan diikuti dengan beberapa langkah bijak seumpamanya lagi, selepas ini. Insya Allah!