Malaysia Dateline

Elaun tahunan pengerusi FGV cecah RM480,000, Kabinet didesak bekukan kenaikan gaji GLC, GLIC

Saya menyeru kepada Kabinet dalam mesyuaratnya pada hari Rabu yang akan datang untuk mengeluarkan arahan pembekuan peningkatan gaji dan elaun di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan juga untuk memecat mana-mana lantikan GLC dan GLIC yang mengingkari arahan Kabinet ini.

Arahan Kabinet ini juga perlu dibentangkan ke Parlimen pada 18 Julai untuk menerima sokongan Parlimen.

Dua hari yang lepas, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, telah mengumumkan bahawa keluarga yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan menerima tambahan bantuan sebanyak RM100.

Manakala penerima BKM bujang bakal menerima bantuan tambahan sebanyak RM50 dalam berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup, dengan harga ayam dan telur dijangka meningkat dalam bulan hadapan apabila harga siling dimansuhkan pada 1 Julai.

Namun semalam, FGV Holdings Bhd yang 80 peratus dimiliki oleh Federal Land Development Authority (FELDA) telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya dan mengundi untuk meluluskan peningkatan elaun tahunan pengerusi FGV kepada RM480,000 dari RM300,000.

Peningkatan sebanyak RM180,000 dan meningkatkan elaun tahunan enam ahli lembaga pengarahnya dari RM120,000 kepada RM150,000.

Perkara ini bukan sahaja berlebihan dalam waktu di mana negara sedang bergelut dengan kesukaran ekonomi, tetapi terlampau tidak masuk akal dan perlu disekat oleh Kabinet dan Parlimen.

Rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Timbalan Ketua DAPSY yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang untuk Ketari, Young Shefura Othman, kerana mendedahkan perkara mengejutkan mengenai mesyuarat agung tahunan FGV Holdings ini.

Kabinet dan Parlimen perlu menyampaikan mesej yang tegas dan jelas yang sekarang adalah masa untuk kita mengetatkan tali pinggang masing-masing dan bukannya masa untuk membazir.

Adakah Kabinet dan Parlimen berani untuk menghantar mesej sebegini?

Pengerusi FGV Holdings Bhd, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab dan enam orang ahli lembaga pengarahnya, boleh membantu meredakan situasi ini dengan mengumumkan yang mereka tidak akan menerima peningkatan elaun yang tidak senonoh ini.

Baca juga: Agenda Mesyuarat Agung FGV hari ini naikkan elaun pengerusi kepada RM480,000

Baca juga: Gigih naik tingkat 7 hantar makanan, netizen terhibur abang Grab pasrah diminta buangkan sampah