Malaysia Dateline

Elemen patriotisme jalan terbaik pupuk perpaduan kaum

Elemen patriotisme yang disematkan melalui semangat kebangsaan (nasionalisme) merupakan jalan terbaik untuk memupuk perpaduan antara kaum, kata Exco Arma Nasinal Dr Muhammad Faiz Naaman.

Beliau berkata, konsep Islamisai atau arabisasi tidak boleh dipaksa kepada muslim Malaysia sebagaimana diamalkan oleh Melayu-Islam yang konsevatif di negara ini.

Katanya ini kerana rakyat negara ini tidak bersifat “homogenous” sepertimana rakyat negara Jepun atau Korea.

Justeru ujarnya perlu ada satu bentuk ideologi nasional yang mampu diterima oleh semua pihak tanpa melibatkan kepercayaan tertentu.

“Namun ini tidak bermakna Malaysia perlu mengambil haluan sekular atau ultra liberalisme ala Barat kerana wujudnya faktor kedua dalam pembentukan negara ini, iaitu Bumiputera Muslim (khususnya orang Melayu).

“Orang MelaYU merupakan kelompok majoriti rakyat negara ini di mana sebahagian mereka dinaungi oleh raja negeri masing-masing yang dianggap Ketua Agama Islam Negeri tersebut, dengan Yang Di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan Ketua Agama Islam Malaysia.

“Maka sensitiviti kelompok majoriti ini juga merupakan salah satu penentu kepada polisi-polisi serta dasar kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana asas demokrasi negara ini tertegak dengan suara majoriti, maka pendekatan sederhana yang turut mengambil kira hak serta kepentingan kelompok minoriti, selagi ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perlu juga diberi perhatian,” ujarnya ketika membahaskan ucapan dibawah tajuk ‘Nasionalisma pemangkin integrit’.

Dr Faiz yang juga Ketua Biro Integriti berkata sejak akhir-akhir ini. ramai yang faham atau menelusuri sejarah penggunaan istilah ‘ketuanan Melayu’ terutama dalam senario politik negara ini.

katanya sesetengah rakyat gemar beremosi dan beretorik daripada cuba menyelami realiti sebenar status kedudukan Bumiputera di negara ini sejak penjajahan British.

“Ada juga yang mencadangkan agar istilah tersebut ditukar kepada “Kedaulatan Melayu” walaupun hakikatnya Melayu boleh hilang kedaulatan jika ada payung rakyat yang bermain bisnes dengan kuasa asing hanya untuk kelihatan maju dalam satu bandar baru yang tidak didominasi oleh penduduk tempatan sendiri.

“Dengan segala perubahan sosio-politik yang melanda Malaysia pasca PRU ke-14, adalah wajar rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu mencari satu naratif baru untuk menterjemahkan semangat nasionalisme mereka.

“Kali ini secara lebih universal lagi agar turut dapat dihayati oleh kaum-kaum minoriti lain di negara ini.

“Oleh yang demikian, demi perpaduan kaum di negara ini, dan demi pemerkasaan tahap integriti nasional, saya menyokong usaha kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir untuk meluruskan kembali fungsi asal sekolah kebangsaan bagi semua kaum.

“Saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan membentuk satu polisi yang tegas supaya semua taska dan tadika di negara ini menerapkan nilai-nilai Nasionalisme kepada anak-anak bangsa sejak dari usia kecil,” ujarnya.

Katanya lagi, manipulasi sentimen agama serta penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris kononnya untuk melariskan perkhidmatan atau jualan produk dalam negara ini mestilah dikekang demi keharmonian masyarakat.