‘Pah Bedah’ sokong Najib tarik perhatian ramai selepas Mat Over

Ellie Suriati dibawa keluar selepas memekik ‘Bebas Najib’ di mahkamah.

Aksi pelakon dan pengarah filem, Ellie Suriati Omar di Mahkamah Kuala Lumpur semalam yang memberi sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak menarik perhatian ramai termasuk di media sosial.

Nama bekas guru seni persembahan dalam program TV Akademi Fantasia 2016 (AF2016) berkenaan kembali disebut netizen selain mengingatkan tindakan pelawak Mat Over menampar produser filem David Teo di depan Najib tahun lalu.

Ellie, 48, yang berpakaian dan berselendang serba hitam memekik beberapa kali, ‘Bebas Najib’ dan diikuti sekumpulan penyokong lain sebelum diiringi polis untuk dibawa keluar dari mahkamah.

Kekecohan mereka berlaku ketika Peguam Negara, Tommy Thomas hendak memulakan sidang media apabila dituntut supaya menggunakan bahasa kebangsaan.

Ellie yang pernah popular dengan watak orang gaji bernama Pah Bedah dalam drama bersiri TV3 lebih 10 tahun lalu itu juga dilihat menangis teresak-esak sambil ditenangkan seorang temannya di mahkamah itu.

Ditanya pemberita mengapa menitiskan air mata, pengarah filem hantu, Penanggal itu memberitahu, beliau terlalu sedih mengenangkan layanan yang diterima Najib.

“Bagi saya kenapa layan pemimpin yang bagus macam tu, saya pernah jumpa dia, pada satu majlis mengenang budi, saya nak lihat dia dari dekat. Saya tak percaya orang boleh buat dia macam tu,” kata bekas pramugari MAS itu dalam nada sebak.

Pada 17 Mei tahun lalu, Mat Over atau Sulaiman Yassin secara mengejut menampar muka David lantaran tidak berpuas hati terhadap sikap David yang dianggapnya bercakap kurang sopan di hadapan Najib ketika berlangsungnya Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2050) di kediaman Najib di Putrajaya.

Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib, 65, setakat ini satu-satunya perdana menteri Malaysia yang dikaitkan dengan pelbagai skandal dan satu-satunya bekas Presiden Umno yang menyaksikan parti itu hilang mandat rakyat untuk terus menduduki kerajaan Persekutuan.

5.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 4.0