Malaysia Dateline

Elok bercakap hal yang nampak, usah masuk campur urusan tuhan

Kita suka bercakap perkara yang susah untuk diukur. Bagaimana kita nak kata terhadap sesuatu yang susah untuk diukur sebagai punca sesuatu kejadian?

Contohnya, kita kata bencana kepala air atau banjir puing di Yan, Kedah berpunca daripada perbuatan khurafat di Gunung Jerai. Mana kita tahu?

Nanti kalau ada orang kata, banjir di Kelantan kerana khurafat di Kota Bharu atau di Gua Musang, bagaimana?

Mengapa di Genting Highlands tidak jadi macam di Gunung Jerai? Mekah juga banjir, ada khurafat?

Susah kita nak justifikasi hujah itu. Ya, bab kuasa Allah tiada siapa yang nafi. Murka Allah terhadap maksiat adalah perkara benar.

Cuma bagaimana nak justifikasi kejadian itu berpunca daripada khurafat?

Sebab itu, sebagai manusia yang pengetahuan kita terbatas, elok kita bercakap perkara yang nampak, senang difaham dan mudah diukur.

Misalnya, dalam isu banjir, elok kita bercakap tentang sistem perparitan. Dalam isu tanah runtuh, bercakap dari sudut pembalakan tidak terkawal.

Dalam isu limpahan air, bercakap dari sudut pencerobohan kawasan tadahan hujan. Senang difaham, mudah diukur dan lebih realistik.

Tapi kalau kita kata, banjir berpunca daripada maksiat kepada tuhan, macam mana nak diukur?

Sebab ada tempat maksiat banyak, tidak banjir. Tempat tidak banyak maksiat banjir pulak. Macam mana?

Nanti nanti kita kata, tempat tidak banyak maksiat banjir kerana ujian. Tempat banyak maksiat pula tidak banjir sebab istidraj.

Tuhan sengaja biar mereka senang atas dunia, sebab nak azab depa di akhirat. Fuh, lagi susah kita nak faham dan nak ukur.

Bahkan bila bercakap begitu, kita sudah masuk campur urusan tuhan pula. Sampai tahu orang ini tuhan murka, orang itu tuhan reda. Orang ini akan mati kufur, akan kena azab akhirat.

Islah

Kita suka bercakap perkara yang abstrak dalam konteks mengurus alam. Reda, murka, bala, ujian, istidraj, ma’unah.

Semua itu konsep yang “tidak berjejak” di bumi kecuali diterjemah dalam bentuk fizikal dan tindakan yang boleh diukur.

Contohnya, kita baiki sistem perparitan sehingga elok untuk mencari reda tuhan. Sebab tuhan suruh kita lakukan islah atas muka bumi.

Tapi kalau kita kata bencana itu kerana amalan khurafat, tapi pembalakan haram, pencerobohan kawasan tadahan air terus berlaku, adakah bencana boleh dielak?

Kita kata nanti tuhan tolonglah…! Hhmmm… kita balik semula kepada isu asal. Bercakap perkara yang bersifat abstrak dan mengharapkan keajaiban.

Sampai bila pun, jika sikap kita begitu, kita tidak akan ke mana-mana sebab kita tidak berpijak di bumi nyata.

Kita kena keluar daripada ruang “tak pa, tuhan ada, nanti tuhan tolonglah…! Eh, tuhan kuli kamu ke?

Umar pernah menempelak para sahabat yang berkata wallahu a’alam. Umar tanya, siapa tahu tafsiran ayat ini.

Sahabat ramai-ramai jawab, wallahu a’alam. Umar kata, aku tahu dah Allah itu Maha Tahu. Aku tanya kamu, tahu atau tidak. Kalau tidak tahu, jawab tidak tahu.

Begitulah dengan alam ini. Khurafat wajib dihentikan. Pembalakan haram pun kena hentikan juga. Barulah kepala air tidak menjengol!

Alam ini ada peraturannya. Jika kita langgar peraturan itu, kita akan terima padah. Jadilah manusia, usah jadi tuhan.