Malaysia Dateline

‘Elok Pembela turut merungut cabutan nombor ekor 22 kali’

Sebuah NGO bernuansakan Islam, Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyifatkan kerajaan hari ini hodoh perangai dan terkutuk kerana menyalurkan peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina.

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahya juga dilaporkan berkata, suatu masa dahulu ada pemimpin dalam kerajaan sekarang melaung-laungkan ikrar mahu mengharamkan pertubuhan pendesak Cina, Dong Zong, tetapi hari ini katanya alih-alih beri peruntukan kepada sekolah Cina.

Kepada Pembela usah kesal dan sedih dengan sikap pemimpin kerajaan itu dan jangan sedih dan kecewa atas apa yang berlaku. Lumrah politik begitulah. Sebelum jadi kerajaan mereka akan menjanjikan bulan dan bintang, tetapi sudah berkuasa semuanya lebong.

Daripada mempertikaikan tindakan kerajaan beri RM15 juta kepada sekolah Cina itu, elok Pembela turut merungut juga fasal kebenaran cabutan nombor ekor daripada 8 kali kepada 22 kali pada masa ini.

Dahulu, parti agama Pas yang dibela oleh Pembela bukan main lagi membenci judi tetapi hari ini parti itu juga senyap tipas semacam tidak nampak lagi apa yang terpampang di mata.

Elok Pembela sedarkan sedikit Pas itu agar tidak lena dan hanyut dalam kuasa. Baru sedikit dapat kuasa, perjuangan asal sudah ke laut. Bukan itu sahaja peraturan jalan raya pun langgar.