Malaysia Dateline

‘Elok sangat polis, SPRM siasat sesiapa yang berpengaruh dulu sebab Pak Mail fokus Keluarga Malaysia’

Orang ramai dilihat menyambut baik langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan menyifatkan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang fokus agenda Keluarga Malaysia.

Rata-rata rakyat berpendapat PDRM serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan terhadap sesiapa yang berpengaruh sebelum ini memandangkan pentadbiran Perdana Menteri sekarang dianggap tidak akan campur tangan.

Reaksi netizen itu muncul susulan tindakan Bukit Aman yang sedang menjalankan siasatan terhadap Apandi berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata PDRM mengesahkan menerima laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung dakwaan tersebut, 27 Julai lalu.

Menurutnya, siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman masih berjalan mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Charles membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasa semasa menjadi Peguam Negara ketika kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Wakil rakyat DAP itu berkata, Apandi, 72, terbukti menyalahgunakan kuasa apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar menolak saman fitnah difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

Charles berkata, Azimah menjelaskan, Apandi tidak bertemu atau bercakap dengan penderma keluarga Diraja Arab Saudi yang didakwa ada kaitan dengan Najib walaupun berkata sebaliknya, pada sidang media pada 26 Januari 2016.

Sehubungan itu, Charles berkata, dakwaan Apandi pada 2016 yang berkata tiada kesalahan jenayah dilakukan Najib berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion telah terbukti adalah “pembohongan secara terang-terangan”.

Susulan siasatan polis terhadap Apandi, orang ramai berharap siasatan akan terus berjalan dan mengheret sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

“Masa inilah sesuai PDRM dan SPRM nak dakwa sesiapa yang berpengaruh dulu. Pentadbiran Pak Mail tak ambil campur urusan benda-benda ni, tengah fokus Keluarga Malaysia,” kata Amad Kandar.

Sementara itu, Wan Mahmud pula menulis, “Permulaan yang baik. Harap tak senyap separuh jalan, atau tangguh dan tangguh.”