Malaysia Dateline

Elon Musk arah pekerja kembali ke pejabat atau berhenti

Ketua Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk mengarahkan pekerjanya kembali ke pejabat atau tinggalkan syarikat, menurut e-mel yang dihantar kepada kakitangannya.

Menurut Reuters yang melihat emel berkenaan, Elon Musk mengarahkan semua kakitangannya untuk berada di pejabat minimum 40 jam seminggu.

Dua sumber mengesahkan ketulenan e-mel yang dilihat Reuters, bagaimanapun Tesla tidak memberikan sebarang komen.

“Jika anda tidak hadir, kami menganggap anda sudah meletak jawatan. Lebih lama anda bekerja di sini, lebih kerap kehadiran anda diperlukan.

“Inilah sebab saya tinggal di kilang supaya mereka yang bekerja di sini dapat melihat saya bekerja bersama mereka.

“Jika saya tidak berbuat demikian, sudah lama Tesla bankrap,” tulis Musk.

Musk dikatakan mengubah polisi sedemikian setelah mendapati ramai pekerja di sana tidak bekerja mencukupi 40 ja setiap minggu.

Tesla telah memindahkan ibu pejabatnya ke Austin, Texas, tetapi mempunyai pangkalan kejuruteraan dan salah satu kilangnya di kawasan Teluk San Francisco.

Firma teknologi utama di Silicon Valley tidak memerlukan pekerja untuk kembali ke pejabat sepenuh masa, dalam menghadapi tentangan daripada beberapa pekerja dan kebangkitan semula kes Covid-19 di California.

“Sudah tentu ada syarikat yang tidak memerlukan ini, tetapi bila kali terakhir mereka menghantar produk baru yang hebat? Sudah agak lama,” tulis Musk dalam e-mel.

“Tesla telah dan akan mencipta dan sebenarnya mengeluarkan produk yang paling menarik dan bermakna berbanding mana-mana syarikat di Bumi. Ini tidak akan berlaku melalui telefon.”

Salah seorang pengikut Twitter Musk menyiarkan satu lagi e-mel yang dihantar Musk kepada eksekutif meminta mereka bekerja di pejabat selama sekurang-kurangnya 40 jam seminggu atau beredar dari Tesla.

Beberapa pekerja Tesla menyatakan rasa tidak senang terhadap komen terbaru Musk dalam siaran yang mereka letakkan pada aplikasi tanpa nama Blind, yang memerlukan pengguna mendaftar menggunakan e-mel syarikat sebagai bukti pekerjaan di firma.

“Jika terdapat penghijrahan beramai-ramai, bagaimana Tesla akan menyelesaikan projek? Saya tidak fikir pelabur akan gembira mengenainya,” tulis seorang pekerja Tesla.

“Menunggu dia berundur dengan cepat,” kata pekerja lain.

Kumpulan advokasi pekerja yang berpangkalan di California juga dilaporkan menyerang rancangan Musk mengarahkan pekerja kembali ke pejabat.