Malaysia Dateline

Elon Musk jadi orang kaya pertama dalam sejarah rugi lebih RM800 bilion

Manusia terkaya di dunia, Elon Musk kerugian AS$200 bilion (RM880 bilion) dua tahun lalu menjadi orang pertama dalam sejarah kehilangan wang sebanyak itu daripada nilai kekayaannya, demikian menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Pemilik Twitter itu mengalami kerugian besar dan menyaksikan kekayaannya menjunam kepada AS$137 bilion (RM603 bilion) selepas saham Tesla merosot 65 peratus sejak setahun lalu.

Ia prestasi terburuk pengeluar kereta elektrik itu setakat ini.

Penganalisis berkata kerugian itu selain berpunca daripada prestasi buruk saham Tesla, penurunannya turut meningkat dalam beberapa minggu selepas Musk memperoleh Twitter.

Menurut laporan Bloomberg, Musk mempunyai nilai bersih $340 bilion selepas permodalan pasaran Tesla mendahului $1 trilion akhir tahun lepas. Bagaimanapun, kekayaannya kini bernilai $137 bilion.

Musk, 51, pada 2021 menjadi manusia kedua yang mengumpul kekayaan melebihi AS$200 bilion, selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos.

Penurunan saham Tesla termasuk kemerosotan 11 peratus lagi pada Selasa lalu selepas Wall Street Journal melaporkan bahawa lonjakan kes Covid-19 memaksa Tesla menghentikan sementara pengeluaran di Shanghai.

Dalam satu memo yang dihantar kepada kakitangan Rabu lalu, bilionair itu mengucapkan terima kasih di atas ‘usaha luar biasa’ mereka sepanjang tahun, namun tidak terlalu menyentuh mengenai prestasi buruk saham syarikat itu.

“Jangan terlalu terganggu dengan kegilaan pasaran saham,” kata Musk dalam satu memo yang dilihat oleh CNBC.

Baca juga: Buat ‘review’ makan sampai meleleh dekat dagu, ramai kecam tengok cara makan pemuda ini