Malaysia Dateline

Elya buat pencarum KWSP jadi serba salah

Elya hari ini membuatkan sebahagian pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serba salah untuk meneruskan permohonan i-Sinar.

Watak yang memperkenalkan diri sebagai penasihat dalam talian KWSP itu muncul mengingatkan jumlah yang dipohon untuk dikeluarkan akan berganda jika disimpan pada usia pengeluaran penuh iaitu 55 tahun.

“Hai saya Elya, penasihat online KWSP. RM10,000 ini dianggarkan akan berganda kepada RM31,186.15 jika disimpan sehingga 55 tahun,” demikian kata-kata yang dimuat naik di aplikasi i-Sinar.

Watak wanita cantik itu berfungsi untuk menasihati pencarum mengenai jumlah kelayakan RM10,000 sebelum membuat permohonan.

Elya dilihat membantu pencarum tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia itu untuk mengeluarkan jumlah tertentu sahaja mengikut keperluan.

Sebahagian pencarum dan warganet dilihat tetap meneruskan permohonan meskipun telah diingatkan watak animasi berkenaan.

Rata-rata mereka yang berbuat demikian kerana terdesak dan memerlukan wang ekoran kesan pandemik Covid-19.

Ada yang menganggap jumlah caruman yang masih berbaki akan berganda jauh lebih banyak.

Dalam masa sama, terdapat juga ahli KWSP yang menangguhkan terlebih dahulu permohonan kerana serba salah selepas melihat kemuculan Elya.