Malaysia Dateline

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

‘Embargo’ Laporan Persempadanan SPR: Speaker tidak adil, nafi hak pengundi

Kerajaan Negeri Selangor adalah pihak yang amat  kecewa dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana  menahan (embargo) Laporan akhir Kajian Semula Syor Persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tatapan awam semalam.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, Pandikar telah bertindak tidak adil,mengkhianati rakyat dan tiada alasan munasabah untuk menahan laporan akhir persempadanan SPR itu sepatutnya boleh didedahkan kepada tatapan awam kerana ia hak demokrasi rakyat untuk mengetahuinya.

” Speaker Dewan Rakyat tiada alasan munasabah menahan laporan akhir itu untuk tatapan awam berikutan ianya mempunyai kesan terhadap hak demokrasi rakyat untuk memilih wakil mereka ke Parlimen.

“Tindakan Speaker jelas menunjukkan beliau bersikap tidak adil.

“Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk embargo laporan itu adalah pengkhianatan yang cukup teruk ke atas 25 juta rakyat Malaysia dan demokrasi berparlimen. Ianya wajar mendapat kutukan dari setiap pelusuk tanah air.

“”Maka, perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Pandikar semalam melarang ahli parlimen membaca, membawa keluar buku Laporan Kajian Semula Syor Persempadanan SPR dari dewan rakyat sehingga di bahaskan pada Rabu hadapan.

Peraturan itu dianggap tidak mengikut peraturan mesyuarat yang kemudian dibantah semua ahli parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan dan Pas.

Namun selang beberapa minit ahli Parlimen keluar dewan untuk mengadakan sidang media untuk menyatakan menolak peraturan ditetapkan itu, di dalam dewan Pandikar memaklumkan buku Laporan yang mempunyai tiga jilid itu boleh dibaca dan dibawa keluar tetapi tidak boleh dijadikan bahan siaran sehingga di bahaskan.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak ini juga berkata, cadangan SPR itu sudah pun dipaparkan secara umum dalam beberapa versi sejak 18 bulan lalu.

“Pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik.

“Cadangan yang dikemukakan SPR secara agresif menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

“SPR tidak seharusnya menjadi alat politik, apalagi politik berasaskan kaum, mereka sudah berikrar untuk menjunjung Malaysia yang demokratik dan harmoni,” ujarnya.

Justeru katanya, persempadanan semula oleh SPR ini adalah antara kegagalan suruhanjaya itu apabila ia pernah dicabar oleh Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah.

“Kita masih lagi mencabar SPR di mahkamah sehingga hari ini,” ujarnya.

Kerajaan negeri berpendapat kegagalan SPR apabila menggunakan daftar pemilih yang terbaharu dalam pelaksanaan persempadanan semulanya dan daftar pemilih yang digunakan SPR tidak lengkap serta tidak tepat dan menjejaskan 136,272 pengundi di Selangor.

Pada Oktober 2017, kerajaan negeir Selangor memfailkan permohonan semakan semula dengan menamakan Pengerusi SPR, Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh sebagai responden.

Selain membatalkan notis persempanan semula SPR, Selangor turut memohon satu pengisytiharan bahawa notis itu kekurangan butiran hingga menyebabkan pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menjalankan hak Perlembagaan mereka untuk memfailkan bantahan.

Selangor juga memohon pengisytiharan bahawa SPR melanggar peruntukan Perlembagaan berkaitan persempadanan kawasan plihan raya yang menyebabkan ketidakseimbangan bilangan pengundi dalam kerusi.

Kerajaan Negeri mengambil serius isu gerrymandering dan malapportionment yang berlaku dengna syor persempadanan semula SPR itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan negeri Selangor untuk mencabar atas alasan undang-undang bahawa kerajaan negeri tidak menerima kesan atau terjejas dengan pelaksaan SPR itu.