Malaysia Dateline

Empangan Jerneh tetap akan dibina tahun ini, kata Adly

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menegaskan, Empangan Jerneh bernilai hampir RM200 juta akan tetap dibina tahun ini sekali gus memberi jaminan tiada lagi penangguhan berikutan kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Negeri Sembilan dalam menyelesaikan beberapa aspek berkaitan sempadan.

Tegas beliau, pegawai kedua-dua kerajaan negeri sudah beberapa kali mengadakan perbincangan berkaitan sempadan sungai antara kedua-dua negeri yang menjadi sumber utama air ke empangan itu.

Katanya, walaupun masih ada beberapa aspek yang memerlukan perincian untuk dimuktamadkan, kerajaan negeri yakin ia mampu diselesaikan melalui konsep kerjasama antara kerajaan negeri dalam Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, tegasnya, tiada penangguhan lagi untuk membina empangan berkenaan di Kampung Sungai Jerneh dan FELCRA Ramuan Cina Kecil (RCK), di sini walaupun masih ada beberapa aspek berhubung sempadan yang belum dimuktamadkan.

Beliau menjelaskan, projek itu tetap dilaksanakan tahun ini selepas kerajaan negeri memperincikan pelan pembinaannya berasaskan konsep ‘Off River Dam’ iaitu penyaluran air dari beberapa sungai yang sebahagian daripadanya berada dalam Melaka dan sebahagian lagi di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pegawai kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai Kerajaan Negeri Sembilan bagi memuktamadkan hal berkaitan sempadan beberapa sungai yang menjadi sumber bekalan air utama ke empangan itu.

Empangan Jerneh mempunyai kadar takungan 13,000 juta liter air dan tidak dibina atas konsep penyaluran sungai dan anak sungai ke empangan, sebaliknya ia membabitkan pembinaan paip utama sepanjang lima kilometer dari sungai ke empangan.

“Air dari sungai dipam ke dalam empangan dan disalurkan ke luar melalui daya graviti dan ia mampu memenuhi keperluan air penduduk negeri ini,” katanya ketika ditemui meninjau lokasi cadangan pembinaan Empangan Jerneh dan sumber air di sekitar Sungai Rembau dan Sungai Linggi di Lubok Cina, seperti dipetik laporan Melakakini.

Adly menghabiskan kira-kira tiga jam meninjau lokasi berkenaan bagi mengenal pasti pelbagai aspek yang berkaitan dengan usaha meningkatkan sumber air di negeri ini terutama mengenai penyaluran air dari beberapa sungai di Negeri Sembilan ke empangan berkenaan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Projek Empangan Jerneh dicadangkan mulai 2013 tetapi ditangguhkan sejak dua tahun lalu berikutan beberapa faktor tertentu tetapi dicadang dimulakan semula berikutan kekurangan sumber bekalan air di negeri ini.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri memerlukan RM36 juta sebagai peruntukan tambahan kepada RM163 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek berkenaan yang mampu mengatasi masalah bekalan air di negeri ini dan setakat ini, RM73 juta sudah dibelanjakan bagi pampasan pengambilan tanah.

Kampung Sungai Jerneh kaya dengan sumber mata air yang membantu menyediakan air untuk empangan itu, selain lokasinya di tengah-tengah lembah yang memudahkan air disimpan dalam empangan.

Tiga empangan utama di negeri ini ialah Empangan Durian Tunggal di sini, Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin tetapi cuaca panas sejak beberapa bulan lalu menyebabkan paras air di empangan berkenaan berkurangan.

Ia mendorong kerajaan negeri melaksanakan Bekalan Air Berjadual sejak 29 Januari lalu hingga 29 Februari ini.