Malaysia Dateline

Empat Adun pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hari ini mengesa agar kerajaan negeri Perlis segera menerima cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan pegawai kanannya di Pejabat Menteri Besar.

Adun tersebut ialah ketua pembangkang Asrul Nizan Abd Jalil (PKR-Sena), Gang Ay Ling (PKR-Indra Kayangan), Nor Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) dan Datuk Ismail Kasim (Bebas-Tambun Tulang).

Keempat-empat Adun berkenan mengemukakan cadangan itu ketika sesi perbahasan pembentangan Belanjawan Negeri Perlis 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Mereka (empat Adun) bersependapat bahawa kerajaan negeri perlu segera menerima cadangan daripada SPRM itu bagi memastikan kejayaan Belanjawan Negeri Perlis 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Azlan Man semalam.

Sementara itu, Azlan berkata kerajaan negeri tetap berpegang dengan pendirian sebelum ini meminta SPRM memberi penjelasan terlebih dahulu sebelum menempatkan pegawai di pejabatnya.

“Kami akan tengok apa keperluannya terlebih dahulu dan saya ingin cadangkan kepada pihak SPRM untuk tempatkan pegawai mereka di setiap jabatan kerajaan kerana Pejabat Menteri Besar tidak terlibat dalam pengurusan projek,” katanya di luar dewan ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Persidangan dewan bersambung esok.

— BERNAMA