Empat bekas Pesuruhjaya Pas sertai AMANAH

Empat bekas Pesuruhjaya Pas sertai AMANAH

Seramai empat bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan telah meninggalkan parti itu menyertai AMANAH kerana kecewa dengan pendirian Pas yang tidak menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).

Mereka adalah MK Ibrahim Abdul Rahman yang dilantik Pesuruhjaya Pas pada tahun 1999-2001; Zulkefly Mohd Omar (2004-2009); Taufiq Abdul Ghani (2009-2014) dan terkini pada Khamis lalu Dr Rosli Yaakup (2005-2006) telah mengumumkan beliau menyertai AMANAH.

Dalam program Jelajah Pakatan Harapan yang diadakan di Senawang dan Seremban semalam, keempat-empat bekas pesuruhjaya Pas itu bertemu buat kali pertama dalam program yang turut dihadiri Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Mohamad hadir dalam sesi ‘Ngeteh Bersama Abang Mat Sabu’ yang diadakan di salah sebuah rumah ahli kawasan AMANAH di Taman Tasik Jaya, Senawang yang dihadiri golongan muda.

Naib Pengerusi AMANAH Negeri MK Ibrahim Abdul Rahman berkata, setelah 34 tahun bersama perjuangan Pas, beliau mula melihat perubahan terhadap hala tuju Pas berlaku pada Muktamar Pas ke-63 tahun lalu kerana memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Dalam muktamar itu usul diterima tanpa dibahaskan. Di situ saya mula nampa Pas tidak mahu kekal bersama dalam gabungan baru seperti Pakatan Harapan.

“Apapun yang kita (pembangkang) nak buat kita kena jatuhkan dulu Umno-BN. Tanpa jatuhkan kerajaan yang ada hari ini kita sukar untuk menegakkan Islam sebagaimana dicita-citakan dalam perjuangan Pas,” ujarnya.

MK Ibrahim yang juga bekas Ketua Yang Dipertua Pas Kawasan Seremban (1977-2015) ini pernah sekali bertanding di Ampangan pada 1999 tetapi kalah dengan calon BN.

Zulkefly Mohd Omar

Bagi Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Zulkefly Mohd Omar meyakini mana-mana parti pembangkang yang mahu bersendirian untuk melawan Umno-BN tidak akan boleh bertahan dalam arus perdana politik negara.

“Ini jelas kerana sejak Pas bersendirian ramai ahlinya keluar parti dan sertai parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan.

“Dr Rosli baharu sahaja umum masuk AMANAH Khamis lalu, kita sudah ada empat orang yang mahu jadi ahli.

“Ramai yang sudah menyedari peluang AMANAH di Negeri Sembilan ini cukup besar untuk menang kerusi terutama menarik golongan atas pagar kali ini. Itu tidak termasuk sokongan Felda.

“Peranan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang dapat menarik golangan marhain antara faktor penarik berbanding ketika kemunculan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang lebih menarik golongan pertengahan dan pengundi di bandar. Kali ini gelombang rakyat cukup berbeza,” ujar AJK AMANAH Nasional yang juga Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan ini.

Taufik Abdul Ghani

Bagi Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan  Mohd Taufek Abdul Ghani beliau berpendapat Pas sudah mula susut sokongan setelah tidak lagi bersama pakatan pembangkang dan dilihat lebih mesra Umno-BN.

” Saya nampak kemerosotan sokongan ahli Pas di negeri ini secara terang-terangan. Ramai yang kecewa dengan perjuangan Pas tidak mahu bekerjasama dengan pakatan pembangkang di negara ini.

” Jika ada pun yang masih setia dikalangan ‘hard core’ mereka ini kebanyakannya berasal dari pantai timur seperti dari  Kelantan dan Terengganu yang menetap di sini, kerana pengaruh Pas sangat kuat di sana.

” Boleh dikatakan sokongan Pas tinggal 30 peratus sahaja di Negeri Sembilan manakala 70 peratus lagi sudah beralih memilih Pakatan Harapan. Kita boleh lihat pada siri ceramah dan program yang dianjurkan Pas sudah tidak ramai penyokong,” ujarnya.

Mohd Taufek adalah satu-satunya wakil rakyat Pas yang berjaya memecahkan tembok BN selama 55 tahun di Dun Paroi pada pilihan raya 2008 (PRU12) sebelum terlepas semula ke tangan BN pada pilihan raya 2013 lalu.

Namun pada pilihan raya akan datang beliau tidak menyimpan hasrat untuk bertanding sebarang kerusi walaupun namanya antara yang disenaraikan akan mewakili calon AMANAH di Dun Paroi.

Bagi Dr Rosli Yaakop  beliau juga menyatakan pendirian untuk tidak bertanding sebarang kerusi pada PRU14. Sebaliknya lebih senang untuk bersama AMANAH bergerak melalui siri ceramah, dialog dan bersama gerak kerja dalam gabungan Pakatan Harapan.

Mohamad Sabu (kanan)  menyarungkan vest kepada Dr Rosli Yaakop sebagai tanda beliau akan aktif dalam gerak kerja Pakatan Harapan.

Justeru malam tadi Mohamad  memberikan penghormatan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Akhbar Harakah ini dengan menyampaikan sepasang ‘vest’ ketika berlansungnya program ceramah PH  yang diadakan di Betara Bisness Centre Seremban yang disaksikan kehadiran 7,000 penyokong Pakatan Harapan di sekitar Negeri Sembilan.

Pakar ekonomi ini menjangkakan jika PH begitu padu dengan kerjasama yang diusahakan ini di Negeri Sembilan sahaja PH akan dapat menarik ramai pengundi bukan Melayu.

“Itu jika Pakatan Harapan betul-betul ‘solid’ dengan gabungan ini. Bukan sahaja AMANAH bahkan semua kerusi yang ditandingi parti-parti gabungan akan dapat undi  kaum Cina dan India di Negeri Sembilan manakala undi Melayu sudah tentu dalam tangan,” ujarnya.

Dr Rosli menjangkakan sokongan pengundi bukan Melayu ini boleh mencecah antara 35 peratus hingga 45 peratus akan beri harapan besar kepada PH di Negeri Sembilan.

Dr Rosli ketika dalam Pas pernah menjadi Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Telok Kemang bagi penggal 1998-2001, kemudian memegang jawatan YDP Pas Kawasan Rembau dari tahun 2001-2006. Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri Sembilan.

Beliau pernah bertanding di Parlimen Jelebu dan Dun Paroi pada 2004 dan pada PRU 2013 bagi Dun Klawang tetapi nasib tidak menyebelahinya kerana tidak pernah menang sebarang kerusi menentang BN.

5.1
OVERALL SCORE
7 user votes x 5.9
CATEGORIES