Empat hari hilang suara, calon Amanah ada cara tersendiri dekati pengundi

Empat hari hilang suara, calon Amanah ada cara tersendiri dekati pengundi

Suara pada waktu biasa mungkin tidak begitu penting namun dalam tempoh kempen pilihan raya, ia mungkin alat paling berharga bagi seorang calon bagi berkomunikasi memperkenalkan diri kepada pengundi.

Bagaimanapun bagi calon Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Termizi Ramli, kehilangan suara sejak empat hari lalu bukan halangan bagi beliau meneruskan kempen di Kuala Kangsar.

Rehat yang tidak cukup kerana terpaksa memenuhi jadual kempen yang padat bermula jam 6 pagi hingga 12 malam setiap hari, ditambah cuaca panas dan tidak dapat minum ao mungkin menjadi faktor menyumbang hilangnya suara beliau.

Bagaimanapun apabila bertemu dengan pengundi, bahasa tubuh, isyarat tangan dan senyuman mesra digunakan sepenuhnya bagi menyeru pengundi agar memilih Amanah pada hari pengundian 18 Jun ini.

Tinjauan Malaysia Dateline sepanjang mengikuti kempen beliau di tempat-tempat awam, Dr Ahmad Termizi nampak tidak kekok menyantuni masyarakat.

Faktor saudara mara yang ramai, ditambah populariti bapanya sebagai guru pakar matematik terkenal di Kuala Kangsar sangat membantu kempen beliau setakat ini.

Berbekal kemeja oren bertulis nama beliau dan logo Amanah, beliau hanya perlu bersalam, tunduk hormat dan menunjukkan logo Amanah di baju sambil tersenyum.

Pendekatan itu rata-rata disenangi masyarakat walaupun tanpa perlu bercakap panjang.

Dalam beberapa lawatan di kawasan Cina, rata-rata mereka memahami kekangan yang dihadapi Dr Ahmad Termizi.

“Dr tak perlu bercakap. Undi saya untuk kamu dan Amanah,” kata salah seorang pengunjung ketika ditemui Dr Ahmad Termizi di Pasar Malam Cina di Jerlun sambil memeluk beliau dengan tangannya menunjukkan isyarat bagus.

Begitu juga pada majlis ceramah kelompok. Dengan jadual kempen yang padat, Dr Ahmad Termizi hanya datang singgah bersalam dengan hadirin sambil menunjukkan isyarat beliau tidak ada suara untuk bercakap.

Ketika ditemui di Pejabat Amanah Kuala Kangsar pagi ini, beliau ceria dan bersemangat dengan suaranya mula kedengaran namun masih perlahan dan serak-serak basah.

COMMENTS

Wordpress (0)