Malaysia Dateline

Empat kadar zakat fitrah di Kedah tahun ini

Pada tahun ini terdapat empat kadar zakat fitrah bagi negeri Kedah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman, empat kadar tersebut ialah RM5 bagi mereka yang memakan beras super tempatan iaitu 10 hingga 15 peratus hancur, RM7 untuk mereka yang memakan beras super spesial tempatan iaitu 5 peratus hancur, RM14 bagi yang memakan beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi serta RM21 untuk mereka yang memakan beras basmathi, beras pulut, beras Jepun dan beras merah.

Menurut beliau lagi, kutipan zakat fitrah melalui amil di setiap kariah dalam negeri Kedah akan bermula pada 3 Mei 2020 bersamaan dengan 10 Ramadan 1441H dan kutipan zakat fitrah boleh dilaksanakan di perkarangan masjid kariah masing-masing.

“Tempoh masa yang dihadkan bermula pada jam 8 pagi sehinggalah jam 12 tengah hari sahaja manakala ketua amil hendaklah berbincang bersama amil dibawah seliaannya bagi melaksanakan cara kutipan yang terbaik tanpa adanya himpunan serta mengamalkan penjarakkan sosial.

“Kutipan tidak boleh dibuat di dalam masjid dan hanya dua orang amil sahaja yang dibenarkan bertugas dalam satu-satu masa di perkarangan masjid serta amil perlu memakai penutup muka dan hidung disamping menggunakan pensanitasi tangan.

” Para amil juga dilarang untuk berjabat tangan bersama pembayar zakat ketika melaksanakan tugas tersebut dengan hanya akad serta doa sahaja yang dibenarkan,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, mereka juga dilarang untuk membuka kaunter kutipan zakat di tempat awam seperti pasaraya maupun mana-mana premis atau bangunan yang boleh menyebabkan wujudnya himpunan.

Sehubungan itu ujar beliau, orang ramai adalah digalakkan supaya melaksanakan bayaran zakat fitrah secara atas talian sesuai dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tatkala ini.