Empat khemah Bazar Desa Pandan roboh dilanda ribut

Lokasi bazar Ramadan di Desa Pandan roboh akibat angin ribut dan hujan lebat selama 30 minit di kawasan itu, petang tadi.

Akibatnya, salah sebuah khemah yang berada di bahagian tapak peniaga di bawah khemah DBKL roboh sehingga menyebabkan empat buah gerai terpaksa ditutup.

Difahamkan, ketika itu peniaga yang menjual ayam percik baru sahaja membuka kedai dan sedang membakar arang sebelum kipas siling yang tergantung di khemah tersebut jatuh.

Menurut peniaga Nurfarhanadilah Fadil yang menyaksikan kejadian tersebut berkata, peniaga ayam percik itu sempat menolak keluar meja arangnya ke tengah hujan sebelum khemah tersebut benar-benar runtuh.

“Masa itu saya nampak peniaga tengah bakar arang sebab baru je buka kedai. Dalam pukul 5 petang, hujan makin lebat tambah pula dengan angin ribut, tiba-tiba kipas yang tergantung terjatuh sedikit demi sedikit sehingga hampir mencecah lantai.

“Paling mengerikan, ketika itu terdapat peniaga dibawah khemah berkenaan. Kipas pula walaupun dah jatuh, masih tetap berpusing,” katanya.

Peniaga lain, Fathullah Al Mukmin pula berkata, kemungkinan air hujan yang bertakung di atas khemah menjadi penyebab khemah tersebut tidak dapat bertahan dan jatuh ketika angin ribut.

“Saya nampak besi yang menyokong kipas di atas siling patah sebelum jatuh sambil berpusing. Tapi peniaga dibawahnya sempat selamatkan diri. Tapi arang-arang yang dibakar terpaksa dibuang kerana terkena hujan. Peniaga itu juga terpaksa tutup kedai hari ini sebab keadaan tidak berapa baik,”ujarnya.