Malaysia Dateline

Empat kluster masih kekal di Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan empat kluster kekal masih aktif di Sarawak.

Kata JPBN, empat kluster berkenaan semuanya direkodkan di Daerah Kuching iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Wisma Saberkas dan Kluster Greenhill.

“Setakat semalam, tiada kluster baharu dicatatkan di negeri ini dan hanya kekal dengan empat kluster yang sedia ada,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

Semalam, Sarawak telah merekodkan dua kes positif Covid-19 baharu yang dikategorikan sebagai kes import di Daerah Kuching.

Dengan perkembangan berkenaan, menjadikan keseluruhan ialah sebanyak 1,072 kes dilaporkan di negeri setakat semalam.

“Satu kes melibatkan saringan kontak rapat melibatkan lelaki warga Indonesia dipercayai memasuki Sarawak tanpa saluran sah, dimasukkan ke pusat kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan kes 1,067 yang merupakan kembarnya.

“Kes menjalani saringan rT-PCR Covid-19 pada 7 Disember semasa berada di pusat kuarantin dan keputusan ujian mendapati beliau positif walaupun tiada gejala.

“Kes seterusnya dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” jelas JPBN.

Menurut JPBN lagi, kes yang berasal dari Kalimantan, Indonesia telah memasuki Sarawak pada pertengahan November.

Satu lagi kes, ujar JPBN melibatkan lelaki warganegara yang berasal dari Kelantan, masuk ke Sarawak atas urusan melapor diri di sebuah pusat latihan di Kuching.

“Kes masuk ke Sarawak pada 6 Disember dan diberi arahan kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin. Kes juga menjalani saringan rT-PCR pada 6 Disember dan didapati positif pada 8 Disember.

“Kes pernah menjalani saringan Covid-19 pada 19 November di negeri asal dan didapati negatif.

“Bagaimanapun, kes tidak menunjukkan sebarang tanda serta gejala jangkitan dan dirujuk ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak,” tambah JPBN.

Tegas JPBN, kes masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan dan dikategorikan sebagai kes Import B iaitu telah mendapat jangkitan semasa berada di Kelantan.

Pada masa sama, JPBN akan mengambil tindakan tegas ke atas majikan di negeri ini yang yang mengambil pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI).

“JPBN tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin terutamanya mereka yang berpotensi tinggi membawa serta menyebarkan virus Covid-19.

“Kita juga mengesan kes-kes positif Covid-19 di Daerah Serian dan Kuching beberapa hari lalu membabitkan pekerja asing tanpa izin.

“Tindakan tegas ini tidak hanya ke atas pemilik ladang tetapi semua sektor lain,” tegas JPBN lagi.