Malaysia Dateline

Empat negeri belum ada enakmen kawal dan sekat pengembangan agama lain kepada orang Islam

Empat buah negeri masih belum mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Negeri-negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan apa sahaja doktrin dan fahaman lain tidak boleh dikembangkan kepada orang Islam.

“Perkara ini bersesuaian dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Jadi, saya berpegang kepada apa yang ada dalam peruntukan tersebut,” katanya menjawab celahan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) sewaktu menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Noh bertanyakan mengenai negeri-negeri yang masih belum mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta penjelasan mengenai fahaman Syiah di Malaysia, Mujahid berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan semua ajaran Syiah diharamkan kerana masyarakat Islam di negara ini mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Baru-baru ini dilaporkan terdapat beberapa individu yang dipercayai mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin depan.

— BERNAMA