Empat pertuduhan terhadap Najib, Irwan Serigar berkaitan IPIC, Azam

Empat pertuduhan terhadap Najib, Irwan Serigar berkaitan IPIC, Azam

Empat daripada enam pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah adalah berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Perkara berkenaan disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

“Semasa dalam mahkamah (sebentar tadi), peguam telah mengesahkan bahawa pertuduhan ketiga sehingga keenam adalah berkaitan pembayaran hutang kepada IPIC.

Najib dan Mohd Irwan Serigar hari ini mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah wang milik kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Ditanya sama ada pertuduhan keenam itu turut melibatkan penjualan tanah milik Kementerian Kewangan, Azam mengesahkannya.

“Ya, pertuduhan keenam melibatkan tanah MoF (Kementerian Kewangan),” katanya ringkas, dan enggan mendedahkan nilai penjualan tanah berkenaan.

Azam turut ditanya mengenai setiap pendakwaan terhadap Najib, Mohd Irwan Serigar dan bekas ketua pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid.

“Bagi pertuduhan pertama dan kedua (Najib dan Mohd Irwan Serigar), saya tidak mahu komen lebih lanjut. Serahkan kepada perbicaraan,” katanya.- Bernama.