Untuk mereka yang tidak tahu, Shuib Sepahtu merupakan duta tetap KK Mart yang kini sudah memasuki tahun keempat.
Bagaimanapun sejak kontroversi membabitkan isu penggunaan kalimah Allah pada stoking yang didapati dijual di beberapa premis kedai serbaneka itu, Shuib kini dilaporkan sedang mempertimbang untuk tidak meneruskan kontrak sebagai duta.
Memetik Berita Harian, Shuib berkata beliau sedia melepaskan tanggungjawabnya sebagai Duta KK Mart jika didapati bersalah.
Shuib yang baru sahaja membaharui kontrak bersama syarikat itu berkata, dia tidak akan bersikap neutral berhubung kontroversi itu dan turut mengeji penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
“Apa yang berlaku itu sangat keji. Sebagai umat Islam, saya sangat terkesan dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam perniagaan atau apa juga situasi.
“Kita akan marah kerana isu kalimah Allah ini sangat besar,” katanya.
Shuib menambah, dia perlu menunggu hingga siasatan selesai sebelum membuat tindakan lanjut berhubung kontrak sebagai duta.
“Kalau benar, saya tidak akan sokong, saya tidak akan mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam.
“Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan. Jadi, saya tidak boleh hendak ulas lanjut kerana ini melibatkan perniagaan dan sensitiviti masyarakat.
“Saya akan berdiri sebagai seorang umat Islam di mana apabila perkara itu tidak betul, salah, dan melanggar peraturan, saya tidak akan sokong,” katanya.
Baca juga: “Aku ni sampai anxiety, takut bapa mentua datang mengejut check rumah, dah macam warden”