Enakmen kawalan pengembangan agama telah wujud di beberapa negeri

Enakmen kawalan pengembangan agama telah wujud di beberapa negeri

Semua rakyat dalam negara ini harus faham dan sedar bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Di samping itu Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelas beliau lagi, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan undang-undang negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Sehubungan itu tegasnya, berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah Perkara 11(4), maka beberapa kerajaan negeri sejak puluhan tahun lagi telah pun meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam sepertimana yang telah dinyatakan dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan negeri masing-masing.

“Cuba rujuk kepada Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1981 (Enakmen No.11/1981).

“Begitu juga dengan negeri Kedah melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Kedah, 1988.

“Manakala bagi negeri Melaka pula ada Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Melaka, 1988 (Enakmen No.1/1988),” ujarnya.

Jelas Dr Zaidi lagi, Perak juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Perak, 1988 (Enakmen No.10/1988).

Beliau juga berkata, Selangor turut mempunyai undang-undang kawalan yang sama melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No.1/1988).

Selain itu tambahnya, Pahang pun telah menyediakan peruntukkan pengawalan tersebut melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Pahang, 1989 (Enakmen No.5/1989).

“Negeri Sembilan juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam )Negeri Sembilan, 1991 serta Johor turut mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam ) Johor, 1991 (Enakmen No.12/1991).

“Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak belum lagi menggubal undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan Agama Bukan Islam.

“Oleh kerana itu amatlah diharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat menyelesaikan isu yang agak sensitif ini terutamanya bagi penganut agama Islam dan juga Kristian dengan sebaik mungkin,” saran beliau.